suria

Matrade Jangka Eksport Alat Perubatan Meningkat

KUALA LUMPUR: Eksport alat perubatan Malaysia dijangka meningkat sebanyak 10-12 peratus tahun ini daripada RM15.53 bilion tahun lepas disokong oleh permintaan yang amat besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata prospek industri alat perubatan sangat menggalakkan yang dapat membantu Malaysia untuk terus mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ini.

Dalam suku pertama tahun ini (Suku-1 2016), eksport alat perubatan meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM3.8 bilion daripada RM3.6 bilion dalam suku yang sama tahun lepas.

"Eksport alat perubatan Malaysia berpotensi besar dan orang percaya dan yakin dengan produk kita yang berkualiti tinggi serta berharga kompetitif berbanding yang lain-lain.

"Sasaran itu boleh dicapai, disokong oleh pemulihan ekonomi di Eropah. Alat perubatan kita mendapat sambutan dan banyak pemain (tempatan) menyediakan pelbagai produk bagi pasaran eksport," katanya kepada pemberita di luar acara Seminar dan Bengkel mengenai Alat Perubatan di sini, Selasa.

Dzukifli berkata produk-produk utama yang akan membantu eksport ialah daripada instrumen, perkakas dan peralatan perubatan, segmen seperti kanta sentuh dan pemulihan penuaan.

Segmen itu berkembang sebanyak 29.8 peratus kepada RM929.5 juta pada suku pertama 2016 daripada RM714.7 juta pada tempoh yang sama 2015.

Bagi 2015, segmen tersebut meningkat sebanyak 57.3 peratus kepada RM3.36 bilion, manakala segmen-segmen lain -- sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan naik 12.3 peratus kepada RM8.01 bilion, kateter, picagari, jarum dan alat jahitan (4.3 peratus, RM2.01 bilion) dan kanta oftalmik (14.5 peratus, RM0.95 bilion).

Destinasi utama eksport pada 2015 ialah Belanda, Belgium, UK, Jepun dan AS, menyumbang 80 peratus daripada jumlah perdagangan alat perubatan. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain