suria

Syarikat ICT Dan Pertahanan Turki Mahu Cari Rakan Kongsi

KUALA LUMPUR: Lebih 20 syarikat teknologi tinggi utama dari dua bandar teknologi di Turki dengan pengalaman dalam kluster pertahanan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mahu mencari rakan kongsi perniagaan berpotensi di sini pada 10 dan 11 Mei.

Syarikat-syarikat perkakasan dan perisian ini daripada taman teknologi Bilkent Cyberpark and ODTU Teknokent akan menjadi sebahagian daripada rombongan delegasi yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Rendah Kementerian Pengangkutan, Hal Ehwal Maritim dan Komunikasi Turki, Galip Zerey, dan disertai Pengerusi Pihak Berkuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi Turki Omer Fatih Sayan.

Kunjungan itu diselaraskan oleh Pejabat Kaunselor Komersial Kedutaan Turki di sini.

Syarikat-syarikat daripada bandar teknologi ini telah menjalankan analisis penyelidikan dan mendapati agensi dan syarikat Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pengalaman mereka dalam keselamatan siber, aplikasi data, penyelesaian e-kerajaan, penyelesaian komunikasi antara mekanikal dan penyelesaian industri pertahanan.

Delegasi itu dijangka bertemu dengan beberapa agensi dan organisasi utama Malaysia seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia dan Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia.

Bersempena dengan lawatan itu, Forum Perniagaan Global Malaysia (MBGF) akan mengadakan program padanan perniagaan pada kedua-dua hari tersebut.

Pengarah Urusan MBGF, Nordin Abdullah berkata, program itu akan membolehkan syarikat Turki mengetahui dengan lebih baik lagi keperluan bakal rakan kongsi perniagaan mereka dari Malaysia.

Malaysia dan Turki memeterai perjanjian perdagangan bebas tahun lepas untuk menghapuskan duti bagi 70 peratus daripada produk.

Perdagangan dua hala tahunan antara kedua-dua negara dianggarkan berjumlah US$1 bilion (US$1 = RM3.89).

Bilkent Cyberpark merupakan satu daripada taman teknologi pertama dan perintis di Turki.

Setakat ini, terdapat 220 syarikat berteknologi tinggi beroperasi di taman itu, kebanyakannya adalah dalam bidang ICT.

Sebagai taman teknologi dan inkubator utama di Turki, ia menyediakan pelbagai program untuk membantu mengantarabangsakan proses syarikat penyelidikan dan pembangunan (R and D) negara itu.

ODTU Teknokent, yang menjadi taman teknologi pertama dan paling inovatif di Turki menyediakan prasarana kontemporari kepada penyelidik dan syarikat yang membangunkan dan menghasilkan teknologi untuk meningkatkan daya saing antarabangsa Turki.

Ia mempunyai 320 syarikat penyewa dengan lebih 5,000 kakitangan, yang mana 90 peratus adalah pekerja mahir.

Ia juga memiliki kawasan tertutup seluas 120,000 meter persegi yang dikhususkan bagi operasi R and D.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain