suria

Boon Siew Honda Unjur Kuasai 25 Peratus Bahagian Pasaran

BATU KAWAN: Boon Siew Honda Sdn Bhd, pengeluar dan pemborong produk motosikal Honda, menyasarkan untuk menguasai 25 peratus bahagian pasaran motosikal di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Pengerusi dan Timbalan Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Tan Hui Jing berkata dengan pelancaran dua model baharu pada Jun dan akhir tahun, kumpulan berharap dapat mencapai sasaran 25 peratus daripada 19 peratus sekarang ini.

Beliau berkata kumpulan itu juga menyasarkan jualan motosikal lebih tinggi  pada 130,000 unit menjelang akhir tahun ini berbanding 90,000 unit pada tahun lepas.

"Kami yakin sasaran ini boleh dicapai dan kami bekerja keras untuk memastikan produk yang kami hasilkan memenuhi jangkaan pelanggan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kedua-dua model baharu itu dalam segmen motosikal lebih kecil atau Cub, dijangka dapat meningkatkan jualan dan mengembangkan bahagian pasaran keseluruhan kumpulan.

"Kami akan terus mengukuhkan daya saing dan berusaha untuk menyediakan produk dan perkhidmatan, melangkaui jangkaan pelanggan untuk meningkatkan jualan kami dalam setiap segmen," katanya.

Tan berkata kumpulan juga merancang untuk mengembangkan kilang pembuatan semasanya di sini daripada menghasilkan produk berkapasiti silinder kecil (cc) kepada produk cc yang lebih besar.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nobuhide Nagata berkata kumpulan sedang berusaha, untuk beralih sumber import bahagian motosikalnya disebabkan kelemahan Ringgit.

Beliau berkata sebelum ini, kumpulan itu mengimport bahagian-bahagian motosikal dari kilangnya di Thailand atau Vietnam tetapi dengan pengukuhan mata wang kedua-dua negara, kumpulan kini berusaha untuk mengimport dari Indonesia.

"Indonesia adalah pasaran terbesar kami dan mempunyai kilang pengeluaran  terbesar, jadi sekarang kami akan berusaha untuk mengimport bahagian-bahagian motosikal itu dari mereka bagi memastikan harga motosikal kekal berdaya saing di sini," katanya.

Beliau berkata, bahagian-bahagian motosikal yang diimport akan dipasang di sini dan semua pengeluaran di kilang Pulau Pinang untuk kegunaan negara dan bukan untuk eksport.

Boon Siew Honda ialah syarikat usaha sama antara Honda Motor Co., Ltd. dan Oriental Holdings Bhd. Ia mula beroperasi pada September 2008 dengan matlamat untuk menyatukan pengeluaran motosikal dan jualan di Malaysia.

Artikel Lain