suria

Malaysia Sasar Eksport Lebih Banyak Produk Pertanian Ke Turki

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan untuk meningkat eksport barangan pertanian ke Turki tahun ini, diperkukuh oleh permintaan yang semakin meningkat ke atas buah-buahan tropika di negara itu.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Istanbul Idzham Abd Hamid berkata buah-buahan tropika seperti nanas, belimbing dan buah naga, mendapat permintaan tinggi di Turki.

Istanbul kini mengimport sebagaian besar buah-buahan tropika dari Belanda.

"Kita patut merebut peluang untuk mengeksport (lebih banyak) buah-buahan tropika kita ke negara itu," katanya kepada pemberita di uar seminar Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Turki, di sini, Rabu.

Eksport utama Malaysia ke Turki bagi tempoh Januari hingga Julai 2015 terdiri daripada barangan pertanian, dengan dagangan bagi segmen itu bernilai  RM386 juta, diikuti barangan pembuatan (RM1.2 bilion) dan barangan perlombongan  (RM3.3 juta).

Seminar bertema 'Memanfaatkan FTA Malaysia-Turki bagi Meningkatkan Eksport' itu bertujuan meningkatkan kerjasama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana, bidang berkaitan halal, pertanian dan industri makanan, pembangunan penyelidikan serta inovasi. Ia Dihadiri 160 pengeksport.

Menerusi FTA, kedua-dua negara akan memansuhkan dan mengikat duti pada sifar peratus ke atas 70 peratus barisan tarif, dan untuk masa depan, duti akan secara beransur-ansur dikurangkan ke atas hampir 86 peratus barisan tarif.

FTA itu juga meningkatkan akses pasaran, termasuk memansuhkan duti kastam tambahan ke atas produk seperti tekstil, pakaian dan kasut selain layanan bebas duti antara lain ke atas produk getah, kayu, dan kulit.

Matrade juga yakin dagangan dua hala antara Malaysia dan Turki mampu mencecah US$1 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang memandangkan FTA antara kedua-dua negara baru berkuat kuasa 1 Ogos 2015.

Cabang promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dijangka mengetuai penyertaan syarikat Malaysia dalam dua misi pemasaran khusus ke Istanbul yang berlangsung sempena World Food Istanbul 2015 yang berlangsung  selama empat hari.

Turki, Matrade

Artikel Berikut

Artikel Lain