suria

China Semak Semula Kadar Pertumbuhan KDNK

BEIJING: China menyemak semula kadar pertumbuhan 2014 kepada 7.3 peratus, turun daripada 7.4 peratus yang baru diumumkan, kata Biro Perangkaan Nasional (NBS).

Biro itu dalam satu kenyataan semalam berkata, berdasarkan kepada pengesahan awal, keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2014 mencecah 63.61 trilion yuan (US$10 trilion), turun 32.4 bilion yuan daripada pengiraan awal.

"KDNK negara akan dikira tiga kali setiap tahun, pertamanya, pengiraan awal, diikuti pengesahan awal dan akhir sekali, pengesahan akhir," kata biro itu.

Tahun lepas, industri utama (pertanian) meningkat 4.1 peratus, kekal sama seperti pengiraan awal; industri sekunder (pembinaan dan pembuatan) naik 7.3 peratus daripada pengiraan awal, manakala pertumbuhan industri peringkat ketiga   (sektor perkhidmatan) turun 0.3 peratus kepada 7.8 peratus daripada pengiraan terdahulu.

Sektor pertanian China menyumbang 9.2 peratus daripada KDNK pada 2014; sektor pembinaan dan pembuatan menyumbang 42.7 peratus daripada KDNK; manakala sektor perkhidmatan menyumbang 48.1 peratus daripada KDNK, susut daripada yang dilaporkan sebelumnya pada 48.2 peratus.

China menurunkan sasaran pertumbuhan KDNK 2015 kepada sekitar tujuh peratus daripada 7.5 peratus pada 2014.

China, KDNK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain