suria

PKS-Asean Digesa Luaskan Dagangan Menerusi Internet

Munir Majid

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana Asean (PKS) perlu menggunakan e-dagang atau Internet yang merupakan kaedah terbaik untuk meluaskan dagangan produk atau perkhidmatan.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean Tan Sri Munir Majid berkata hanya satu peratus daripada perolehan dalam perniagaan runcit di Asean kini dilakukan menerusi Internet berbanding sembilan peratus di kebanyakan ekonomi  maju.

Beliau berkata sektor itu berpotensi tumbuh jika e-dagang digunakan sebagai medium untuk menjalankan perniagaan.

"Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu mereka tangani seperti memiliki sistem pembayaran e-dagang selain perkhidmatan logistik yang baik.

"E-dagang merupakan sesuatu yang perlu dibayar kerana ia memerlukan sistem standard bagi memudahkan industri peruncitan," katanya kepada Bernama di luar Mesyuarat ke-14 Pasukan Petugas Khas Pegawai Tinggi Kumpulan Kerja bagi Penyepaduan Ekonomi Asean pasca 2015, Khamis.

Memandangkan PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara, dengan mengambil kira 97 peratus penduduk yang bekerja di sesetengah negara, Munir berkata mereka perlu ada pelan konkrit dan mempertahankannya.

"Bayangkan jika ia tidak berjaya, apa akan jadi pada ekonomi, dan mereka (PKS) akan beralih keluar daripada proses penyepaduan Asean. Oleh itu kita mesti memastikan ini tidak berlaku," katanya.

Beliau juga berkata PKS merasakan sebahagian besar impak penyusutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan getah, terutama dari tiga negara pengeluar terbesar: Indonesia, Malaysia and Thailand.

"Berikutan harga MSM dan getah yang rendah, sumbangan tiga negara ini kepada keluaran dalam negara kasar Asia secara kolektif menjelang 2025 akan lebih rendah.

"Ramai yang berkata bahawa pengeksport (PKS) akan meraih manfaat apabila harga jatuh manakala pengimport pula merasakan kesakitannya, mungkin di Asean dan tempat lain. Oleh itu negara terbabit perlu bersaing meskipun harga jatuh atau mata wang susut nilai," katanya.

Beliau menegaskan bahawa PKS terdedah kepada saingan sengit dan menerusi platform dagangan dalam talian, akan memberikan kelebihan saingan kepada mereka.

Ada Pelan Induk PKS pada November, yang antara lain meliputi penubuhan platform kewangan digital Asean untuk PKS.

"Kita mesti memberikan PKS peluang untuk bersaing, sekali gus menekankan  akses kepada pembiayaan supaya mereka boleh menggunakan teknologi untuk membiayai, teknologi tahap tinggi bagi meningkatkan sistem pengurusan dan saling berhubungan dengan syarikat rangkaian bekalan yang menyediakan pertumbuhan itu," katanya.

AEC dengan penduduk melebihi 600 juta dan keluaran dalam negara kasar bernilai AS$3 trilion, akan muncul sebagai pasaran tunggal dan ekonomi ketujuh terbesar dunia.

Ada yang mengunjurkan ia bakal menjadi pasaran keempat terbesar dunia menjelang 2050.-- Bernama

PKS-Asean, Munir Majid

Artikel Lain