suria

China Turunkan Nilai Yuan Sebanyak Dua Peratus Berbanding Dolar AS

BEIJING: Bank pusat China telah memotong titik tengah harian renminbi China, atau yuan, hampir dua peratus kepada 6.2298 berbanding dolar US, turun daripada 6.1162, agensi berita Xinhua melaporkan.

Langkah itu yang berkuat kuasa bermula Selasa, telah menyebabkan yuan menyusut kepada tiga tahun rendah.

People's Bank of China (PBOC) dalam satu kenyataan, berkata pelarasan itu juga dilihat sebagai susut nilai 'sekali sahaja', sambil menambah bank pusat tersebut akan memantau pergerakan pasaran pada masa akan datang untuk menstabilkan jangkaan pasaran.

PBOC telah berjanji untuk berusaha menggalakkan pembaharuan dalam pertukaran asing supaya ia lebih "berorientasikan pasaran".

China menarik tambatan yuan berbanding dolar US pada 2005 untuk membolehkan ia turun naik berbanding dengan sekumpulan mata wang.

Bagaimanapun, kenaikan nilai yuan bersama-sama dengan dolar yang kukuh baru-baru ini telah menjejaskan eksport negara berikutan kenaikan harga.

Data yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Am Kastam (GAC) pada hari Sabtu lepas menunjukkan eksport China merosot sebanyak 8.3 peratus dalam Julai daripada setahun yang lalu, turun daripada 2.8 peratus, pertumbuhan dari tahun ke tahun dalam Jun.

Import China menjunam sebanyak 8.1 peratus dari tahun ke tahun dalam Julai, susut daripada kejatuhan sebanyak 6.1 peratus dalam Jun.

China, Renminbi

Artikel Lain