suria

FedEx Express Akan Beli 50 Pesawat Tambahan Boeing 767-300F

KUALA LUMPUR: FedEx Express bersetuju membeli 50 pesawat tambahan Boeing 767-300F daripada The Boeing Co dalam usahanya memodenkan kumpulan pesawatnya agar dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

Selain 50 tempahan yang disahkan itu, ia juga mempunyai pilihan membeli sejumlah 50 pesawat 767F, kata FedEx, unit milik penuh FedEx Corp, dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Syarikat tersebut berkata serahan 50 pesawat itu akan bermula dari tahun fiskal 2018 hingga 2023 manakala jumlah perbelanjaan modal bagi tahun fiskal 2016 kekal sebanyak US$4.6 bilion.

Dengan tempahan ini, FedEx Express kini mempunyai sejumlah 106 tempahan bagi pesawat 767Fs daripada Boeing sehingga tahun 2023.

Kesan kepada perbelanjaan modal bagi tahun fiskal 2017 daripada tempahan baharu ini tidak ketara.

"Membeli pesawat 767F tambahan adalah kesinambungan kepada program pemodenan kumpulan pesawat kami yang sangat berjaya dan akan membolehkan kami mengurangkan kos struktur, menambah baik kecekapan bahan api kami dan meningkatkan kebolehpercayaan terhadap rangkaian global kami," kata David J. Bronczek, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FedEx Express.-- Bernama

FedEx Express, Boeing

Artikel Lain