suria

Ekonomi Malaysia Berkembang 5.6 Peratus Pada Suku Ketiga 2014

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku ketiga tahun ini, lebih tinggi berbanding 5.0 peratus yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas, dipacu oleh permintaan swasta, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku kedua disemak menaik kepada 6.5 peratus daripada 6.4 peratus sebelum ini.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, pertumbuhan positif itu juga dicatat dalam kesemua sektor ekonomi.

Sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan 9.6 peratus, diikuti sektor perkhidmatan (6.1 peratus), perkilangan (5.3 peratus), pertanian (4.0 peratus) dan perlombongan (1.4 peratus).

"Aktiviti sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pada suku ini, dengan penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.7 peratus manakala penggunaan awam tumbuh positif sebanyak 5.3 peratus," katanya pada taklimat media mengenai prestasi KDNK suku ketiga Malaysia, di sini, Jumaat.

Kadar inflasi, seperti diukur dalam Indeks Harga Pengguna, turun kepada purata 3.0 peratus pada suku ketiga, sebahagian besarnya disumbangkan oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori pengangkutan, katanya.

Zeti berkata, lebihan dagangan berkurangan kepada RM16.8 bilion bagi suku dalam kajian berbanding RM18.5 bilion pada suku kedua dengan eksport kasar berkembang pada kadar perlahan pada 1.5 peratus.

Mengenai ringgit, Zeti berkata, ia dalam trend meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau pada awal suku disebabkan permintaan yang tinggi untuk bon Malaysia.

Trend itu bagaimanapun menurun pada akhir suku disebabkan perkembangan luar, selari dengan kebanyakan mata wang lain, katanya.

Zeti berkata, bagi keseluruhan 2014, bank pusat itu mengunjurkan KDNK tumbuh antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus.

"Kami yakin kejayaan mencatat pertumbuhan pada julat ini merupakan pertumbuhan yang sangat kukuh berdasarkan persekitaran yang penuh cabaran.

"Tahun depan, kami mengunjurkan KDNK tumbuh antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus.

"Jika eksport menyederhana, KDNK akan menghampiri 5.0 peratus, namun jika meningkat, KDNK akan naik dan menghampiri 6.0 peratus," katanya pada sidang media mengenai prestasi KDNK suku ketiga Malaysia, di sini, Jumaat.


BNM, Zeti Akhtar Aziz, KDNK

Artikel Sebelum

Artikel Lain