suria

FIC Ambil Alih Hotel Selesa PD Dengan Nilai RM40 Juta

JEMPOL: Felda melalui anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC), terus melebarkan sayapnya dalam bidang hartanah dengan pengambilalihan hotel Selesa Beach Resort Port Dickson dengan nilai RM40 juta.


Selesa Beach Resort Port Dickson sebelum ini dimiliki oleh JCorp Hotels And Resorts Sdn Bhd, anak syarikat Johor Corporation.

Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata Selesa Beach Resort ini akan dikenali dengan nama baharu, Grand Beach Resort Port Dickson, selepas selesai proses menaik taraf.

"FIC mengambil alih hotel ini sejak 1 Nov lepas.

"Syarikat yakin hotel ini berpotensi menjana keuntungan kepada Felda," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Jempol di sini, Ahad.

Mohd Isa yang juga Anggota Parlimen Jempol berkata operasi hotel berjalan seperti biasa walaupun proses menaik taraf hotel sedang giat dijalankan bagi memberi imej baharu kepada hotel berkenaan.

Ditanya mengenai pekerja hotel Selesa Beach Resort yang lama, beliau berkata: "Staf lama ada sebahagian yang kita serap masuk dalam pengurusan yang baharu ini, dan pengambilan staf baharu juga masih dijalankan."

Sehingga kini, FIC memiliki 10 hartanah dalam dan di luar negara, termasuk Grand Plaza Service Apartments, London.

FIC didaftarkan pada Julai 2013, merupakan unit di bawah Felda yang bertujuan memaksimumkan aset-aset lembaga itu dalam usaha meningkatkan sumbangan kepada golongan peneroka.

Fokus utama ialah untuk terlibat di dalam aktiviti perniagaan yang tidak berkaitan dengan perladangan dengan objektif utama memberi fokus kepada perniagaan strategik menerusi pengambilalihan atau kerjasama yang membawa manfaat kepada pemegang kepentingan.


FIC, Hotel Selesa, PD

Artikel Lain