suria

Usahawan Mikro Disaran Berniaga Dalam Talian

Hamim Samuri
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri menggesa usahawan mikro agar tidak bergantung kepada kaedah perniagaan tradisional sebaliknya menjalankan perniagaan mereka dalam talian.


Katanya, medium Internet dan transaksi tanpa tunai menjadi pilihan pengguna masa kini kerana kaedah itu lebih menjimatkan masa dan kos.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terdiri daripada syarikat mikro, kecil dan sederhana merangkumi 97.3 peratus perniagaan berdaftar negara dan daripada 645,136 PKS yang berdaftar 77 peratus merupakan usahawan mikro," katanya dalam sidang media, di sini, Sabtu.

Terdahulu beliau menyampaikan ucapan merasmikan Forum Usahawan Mikro bertemakan 'Realisasi Perniagaan Anda' bersempena Karnival Usahawan Mikro anjuran SME Corp Malaysia selama tiga hari sehingga Sabtu.

Mengulas lanjut, Hamim berkata, kerajaan melalui SME Corp telah memperinci strategi bagi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan perusahaan mikro dengan menekankan peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, inovasi dan automasi.

Katanya, sepanjang tahun ini sebanyak 154 program telah dilaksanakan oleh SME Corp sebagai agensi penyelaras pusat, bagi mempergiat pertumbuhan PKS dengan peruntukan berjumlah RM13.35 bilion.

Sementara itu, Ketua Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, penganjuran forum sehari tersebut antara lain bertujuan menyokong usaha kerajaan meningkatkan formalisasi perniagaan serta mengurangkan jumlah perniagaan tidak berdaftar dalam kalangan usahawan mikro.

Katanya, forum juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan usahawan mikro tentang perniagaan secara elektronik atau e-payment dan betapa pentingnya penggunaan teknologi serta inovasi dalam menggalakkan transformasi perniagaan.

"Sehingga kini sejumlah 36,677 usahawan mikro telah memperoleh manfaat daripada transaksi jualan tanpa tunai dengan nilai RM1.77 bilion telah direkodkan di seluruh negara," kata Hafsah.

Katanya, golongan muda cenderung melakukan transaksi perniagaan serta urusan harian dalam talian, justeru trend kelompok yang meliputi 18.9 peratus daripada kira-kira 30 juta penduduk negara dan pasaran itu harus diberi perhatian.

Mengulas perkembangan berkaitan, Hafsah berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melalui SME Corp telah menyediakan pelbagai program dan bantuan untuk usahawan mikro melalui 'Program Enrichment dan Enhancement (E2).

Sejumlah 172 permohonan telah diluluskan kepada usahawan mikro bernilai RM8.5 juta sehingga 31 Okt 2014, kata beliau.

Melalui program itu katanya, pemohon perlu menjalani audit diagnostik dikenali sebagai 'Penarafan Daya Saing Enterpris Mikro bagi Peningkatan' atau MCORE, bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan masing masing bagi tujuan penambahbaikan. - Bernama


Hamim Samuri, PKS, SME Corp

Artikel Berikut

Puma Alami Kejatuhan Untung

Artikel Lain