suria

Ketua Audit Negara Tegur Mara Supaya Pantau Aktiviti Fitec

KUALA LUMPUR: F.I.T Center Sdn Bhd (Fitec), syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara), disarankan menjalankan kajian daya maju sebelum sebarang keputusan diambil terhadap sesuatu prospek perniagaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 1, yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini, Isnin, kajian daya maju itu disyorkan bagi memastikan prospek perniagaannya berdaya saing serta mendatangkan keuntungan kepada syarikat.

Selain itu, MARA turut disyorkan memantau aktiviti yang dijalankan Fitec bagi meningkatkan kapasiti latihan dan bilangan usahawan Bumiputera.

"Fitec perlu selesaikan segera isu tunggakan bayaran sewa premis Sungai Buloh, Rawang, Shah Alam dan Klang bagi mengelakkan kerugian lebih besar ditanggung Fitec," syor laporan itu.

Mengenai prestasi kewangan, Fitec mengalami kerugian selepas cukai berjumlah RM0.28 juta dan RM0.65 juta pada 2010 dan 2011 yang disebabkan pelarasan geran tahunan serta kerugian dalam Program Vendor My Kitchen.

"Perbelanjaan menerusi program Vendor My Kitchen tidak menepati perjanjian yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan mengalami kerugian berjumlah RM2.04 juta bagi tempoh 2011 hingga Oktober 2013.

"Bagaimanapun pada 2012, Fitec mengalami keuntungan selepas cukai berjumlah RM0.16 juta hasil peningkatan pendapatan operasi," menurut laporan itu.

Audit yang dilakukan mengesan beberapa kelemahan, termasuk jumlah latihan dan peserta tidak mencapai sasaran ditetapkan, dan Fitec tidak menetapkan sebarang mekanisme untuk menilai keberkesanan program latihan yang dianjurkan.

Fitec dalam maklum balasnya pada 29 Jan 2014 memaklumkan pihaknya hanya menerima peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi berjumlah RM1.9 juta pada 2010 yang dikhaskan bagi menjalankan program yang dirangka kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.

"Peruntukan ini juga digunakan untuk melaksanakan beberapa program latihan pada 2011.

"Selain itu, Fitec juga menjalankan program khusus kepada tenaga pengajar sekolah teknik dan vokasional serta kolej komuniti yang dibiayai oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Fitec, Mara, Jabatan Audit Negara

Artikel Lain