suria

Harga Durian Naik Mendadak Akibat Cuaca

Ng menunjukkan isi durian Raja Kunyit yang dijual pada harga RM45 per kg.
GEORGE TOWN: Harga durian dijangka meningkat antara 20 dan 30 peratus pada tahun ini disebabkan keadaan cuaca.

Bekalan durian juga dijangka terjejas.

Pemilik dusun durian Bao Sheng, Chang Zhi Vooi berkata harga untuk semua jenis durian mungkin akan menyaksikan kenaikan antara RM5 dan RM20.

"Faktor-faktor yang akan memberi kesan kepada harga adalah 'kesegaran buah dan umur' pokok-pokok durian.

"Lebih tua pokok durian, buahnya akan menjadi semakin mahal," kata beliau sambil menambah harga untuk buah-buahan yang baharu luruh dari pokok adalah lebih mahal berbanding buah lama.

Beliau berkata, pelanggan yang melawat dusunnya di Balik Pulau biasanya memilih durian yang baharu luruh dari pokok.

Chang juga berkata sama ada durian jenis Musang King (juga dikenali sebagai Maussan) atau jenis Duri Hitam, kedua-duanya akan menjadi spesies durian yang lebih mahal musim ini.

"Harga kedua-dua jenis durian ini serta Udang Merah boleh berada sekitar RM30 dan RM60 sekilogram dan ia boleh bertambah, bergantung kepada bekalan," katanya.

Pengarah Urusan Tng Siang Hock Trading Ng Teck Hock berkata harga bagi Musang King dan Duri Hitam mungkin bermula dari RM38 per kg.

"Harga Duri Hitam akan menjadi lebih kurang sama dengan Musang King, tetapi permintaan untuk Musang King akan lebih tinggi.

"Biasanya saya bawa hampir satu tan durian Musang King setiap hari untuk pelanggan saya semasa musim ini dan semuanya akan dijual dengan cepat," katanya.

Ng menambah, pelanggannya sentiasa mahukan durian Musang King sebagai pilihan pertama mereka.

Pencinta durian boleh menikmati raja buah bermula dengan kumpulan pertama - jenis D604 dan Kunpoh Angbak mulai minggu depan dan seterusnya, diikuti dengan Lipan, D600, Kapri, Little Red, D11, Horlor, Kulit Hijau, Kulit Hijau Ang Bak, Kunjit, Lim Fong Jiao dan Musang King.

Duri Hitam, D99, Bak Eu, D15 dan Ganjau akan dapat dinikmati dari bulan Jun manakala Udang Merah hanya boleh dinikmati dari 10 Julai.
harga durian, Raja Buah, musim durian

Artikel Berikut

Artikel Lain