suria

Kes Indira Gandhi Mengenai Hak Seorang Ibu Melindungi Anaknya - Dr Subra

Datuk Dr S. Subramaniam
KUALA LUMPUR: Penghakiman mahkamah mengenai penukaran agama anak-anak kepada M.Indira Gandhi tidak seharusnya dilihat dari sudut pandangan agama, kata Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam.

Dr Subramaniam berkata, perkara itu perlu dilihat sebagai hak ibu dalam mencari perlindungan untuk anak-anaknya.

"Ia soal hubungan, mengenai seorang ibu dan anak-anaknya.

"Kita tidak boleh melihat ia dari sudut agama.

"Ia adalah mengenai hak seorang ibu untuk melindungi anaknya dan ia perlu diberikan," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti pada Selasa.

Dr Subramaniam berkata beliau telah mengadakan perbincangan berterusan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Tambah beliau, Najib memahami isu ini dan bersedia untuk bergerak ke hadapan.

"Terdapat beberapa cadangan oleh beliau tetapi saya tidak boleh mendedahkannya sekarang," kata Dr Subramaniam.

Tambahnya, Wanita MIC juga akan membawa perkara ini kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu beliau berkata S. Vell Paari, anak bekas presiden MIC, Datuk S. Samy Vellu dilantik sebagai Bendahari Agung MIC yang baharu, manakala A.Sakthivel dikekalkan sebagai Setiausaha Agung parti itu.

Katanya pelantikan Vell Paari berkuat kuasa mulai 1 April depan.

Antara tujuh anggota Jawatankuasa Pusat (CWC) yang baharu adalah Datuk T Murugiah, yang merupakan bekas anggota PPP dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Murugiah menyertai MIC pada Ogos 2010. Yang lain terdiri daripada anak bekas timbalan presiden MIC Tan Sri S.Subramaniam iaitu S. Sunther; Ketua Bahagian Kota Raja Datuk R.S Maniam; Ketua Bahagian Kelana Jaya Datuk S. M Muthu; Ketua Bahagian Sepang V Gunalan; Ketua Bahagian Ampang S. Kalimuthu dan Ketua Bahagian MIC Subang N.R Krishnan.

"Pelantikan kesemua tujuh anggota baharu CWC ini berkuatkuasa serta merta," katanya.

Dr Subramaniam berkata pelantikan itu berdasarkan haknya sebagai presiden untuk melantik sembilan anggota biasa CWC.

Sebelum ini, dua lagi anggota CWC iaitu bekas naib presiden MIC Datuk M Saravanan dan bekas ketua penerangan parti, Datuk V S Mogan dilantik oleh Dr Subramaniam.


Katanya, dengan pemilihan ini, jumlah anggota CWC parti itu kini seramai 45 orang.


Artikel Lain