suria

Buku Teks Sejarah Tahun Enam Dijamin Siap Sebelum Januari 2016

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memberi jaminan buku teks subjek sejarah tahun enam yang diarah cetak semula, dapat disiapkan untuk sesi persekolahan akan datang.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata buku teks berkenaan dijangka  siap dicetak semula pada minggu pertama atau kedua Januari 2016.

"Kita sempat cetak pada bulan depan. Kita tidak memandang isu ini sebagai kesilapan kecil dan sebab itu kita mengarah supaya ia dicetak semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan (DAPJKS) 2015 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini, Khamis.

Sebanyak 948 graduan menerima Diploma DAPJKS daripada United States Sports Academy-Malaysia (USSA-Malaysia). Sempena majlis berkenaan, buku berjudul 'Healthy Lifestyle' terbitan USSA-Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka turut dilancarkan.

Rabu, Kementerian Pendidikan mengarahkan syarikat percetakan agar mencetak semula buku teks berkenaan kerana berlaku kesilapan pada kedudukan peta negeri Melaka.

Kandungan buku teks sejarah itu memaparkan kedudukan Melaka di bahagian pantai timur iaitu di atas negeri Kelantan. Perkara itu menjadi viral di laman sosial dan mengundang reaksi ramai terutama dalam kalangan ibu bapa.

Mahadzir berkata pencetakan semula buku itu hanya melibatkan sekolah kebangsaan (SK).

Ketika diminta mengulas mengenai isu nama pemimpin veteran MCA yang tidak disenaraikan dalam buku teks sejarah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC),  beliau berkata buku itu dicetak berdasarkan sejarah pada 1963.

"Buku itu, kita hasilkan ikut sejarah penubuhan Malaysia pada 1963 dan menekankan wilayah Semananjung, Sabah dan Sarawak. Pemimpin veteran MCA Tan Sri Wong Pow Nee yang dikatakan tidak disenaraikan dalam buku sebenarnya disebut sebagai anggota dalam Suruhanjaya Cobbold.

"Buku itu hanya menyenaraikan nama wakil-wakil dari Semenanjung termasuk Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Nama Wong ada dalam buku itu sebagai anggota Suruhanjaya," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau 'terkejut' berikutan buku sejarah SJKC hanya menekankan sumbangan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew tetapi tidak menyebut mengenai Wong.-- Bernama

sejarah, Mahdzir Khalid, Tahun Enam

Artikel Lain