suria

"Rasa Hati Saya Tiada Siapa Tahu" - Wan Azizah

Dr Wan Azizah menendang bola ketika menghadiri Karnival Santai Rakyat di Guar Perahu pada Ahad.
BUKIT MERTAJAM: “Rasa hati saya tiada siapa yang tahu,” kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditanya mengenai keceriaannya ketika memulakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di sini.

Ditanya lanjut mengenai penampilannya yang kelihatan lebih ‘muda’ dengan berseluar dan blaus, Dr Wan Azizah yang kini berusia 63 tahun tersenyum gembira sambil berkata: “Lebih selesa macam ni.”
Dr Wan Azizah atau Kak Wan cuba bermain sepak raga tuju.

Hadir ke Program Santai Rakyat di Padang Bola Taman Guar Perahu di sini, pada Ahad, Dr Wan Azizah yang bertanding dalam PRK Permatang Pauh kelihatan lebih santai berbanding penampilannya sebelum ini yang gemar berbaju kebaya walaupun ketika melakukan walkabout atau riadah.

Ceria-ceria pun hanya penampilan saja…hati masih sama. Orang tak tahu dalam hati saya,” katanya ringkas kepada mStar Online

Luahan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR itu dilihat merujuk kepada hukuman penjara lima tahun ke atas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesalahan meliwat.

Pada PRK yang akan diadakan pada 7 Mei ini, Dr Wan Azizah berhadapan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Salleh Isahak.

Meluangkan masa hampir sejam di karnival berkenaan, Dr Wan Azizah melayan orang ramai serta permintaan pihak media termasuk menjaringkan gol di gelanggang futsal.

Kak Wan ceria bersama Nurul Izzah ketika bergambar kenangan dengan pasukan futsal.

Lebih menarik apabila beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang di Selangor mencuba permainan sepak raga tuju bersama penduduk setempat.

Kempen Dr Wan Azizah ke kawasan itu juga turut disertai anak sulungnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Malah Izzah dan ibunya juga saling bergurau apabila mengetahui Dr Wan Azizah mencuba permainan sepak raga tuju.

“Fusal OK la…tapi sepak raga saya tak tahu main,” kata Nurul Izzah ketika diminta mencuba permainan tradisional Melayu berkenaan.

Namun apabila diberitahu ibunya lebih ‘sporting’ dan berjaya menendang bola sepak raga, Nurul Izzah dalam nada bergurau berkata: “Alaaa…itu sebab luck jadi calon.”

Artikel Lain