suria

PAS Promosi Hukum Hudud Pada PRK Rompin, Permatang Pauh

PASIR MAS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Pahang dan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang akan menjadi medan bagi PAS untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada orang ramai tentang hukum hudud.

Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sehingga kini hasrat PAS untuk mempromosi undang-undang Islam itu ketika berkempen dalam dua PRK berkenaan tidak mendapat tentangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Dalam dua pilihan raya kecil ini, di samping menyentuh isu CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan), kami mahu mempromosi hukum syarak itu. InsyaAllah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2015 Peringkat Negeri Kelantan di Pengkalan Ibrahim Pencen, Rantau Panjang di sini, Ahad.

Portal berita sebelum ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang berpendapat cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan adalah tidak relevan untuk dibangkitkan di Permatang Pauh.

Cadangan PAS melaksanakan hudud menjadi antara punca keretakan gabungan pakatan pembangkang berikutan ditentang kuat oleh DAP dan PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei manakala PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei.-- Bernama

hudud, PRK, Rompin, Permatang Pauh

Artikel Lain