suria

Najib Bincang Ancaman IS, Ebola Bersama Amerika Syarikat Dan Australia

Najib Tun Razak disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (kiri) setibanya di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma dalam rangka lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia sempena majlis mengangkat sumpah perlantikan baharu Presiden Republik Indonesia Yang Ke-7, Presiden Joko Widodo (Jokowi).

JAKARTA: Pelbagai isu semasa yang dihadapi dunia kini termasuk wabak Virus Ebola (EVD) dan ancaman Kumpulan Militan Negara Islam (IS) dijangka mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan utama pada perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry dan Perdana Menteri Australia Tony Abbott pada Isnin.

Mereka berada di sini sempena upacara pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden ketujuh Indonesia.  

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pertemuan Najib dengan kedua-dua pemimpin itu dijangka berlangsung selepas upacara pelantikan Joko.

Malaysia serius menangani isu militan berikutan pendedahan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini berhubung penglibatan pelajar tempatan yang dipercayai direkrut menjadi penggerak utama gerakan IS di Malaysia untuk berjihad di Syria menerusi kumpulan militan IS, Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham.

Malaysia juga serius mengawasi EVD, sejenis penyakit demam berdarah yang membunuh ribuan nyawa di beberapa negara dan kian menular ke negara lain. -

"Selain itu, turut dijangka dibincangkan mereka adalah isu konflik di Syria dan Iraq manakala topik lain seperti perdagangan dan penyeludupan manusia juga terkandung dalam agenda," kata Zaharin kepada media Malaysia disini,Ahad.

Najib adalah antara 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan yang dijadual menghadiri upacara pelantikan Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi pada 10 pagi Isnin di hadapan Majlis  Permusyawaratan Rakyat(MPR), badan perundangan tertinggi republik ini.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini petang tadi bersama-sama pegawai Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Zahrain berkata pada pertemuan bersama Abbot, Najib juga dijangka menyentuh kerjasama dua hala yang bakal dibincangkan semasa persidangan APEC di Beijing, China bulan depan serta Sidang Kemuncak Asean  di Brisbane.

Artikel Sebelum

Artikel Lain