Gerakan Selar Pakatan Rakyat Anjur Perhimpunan Haram - Semasa | mStar

Gerakan Selar Pakatan Rakyat Anjur Perhimpunan Haram

IPOH: Gerakan menyelar tindakan Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan haram di Stadium Kelana Jaya, Selangor pada Rabu, dilihat boleh mencetuskan masalah besar terhadap kestabilan dan keharmonian negara.

Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata Pakatan Rakyat tidak bertanggungjawab apabila menganjurkan perhimpunan itu dalam keadaan negara baru selesai mengadakan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Tidak patut mereka membuat program tersebut yang mungkin akan mencetuskan masalah...Pakatan perlu menghentikan demonstrasi dan perhimpunan seperti ini yang tidak wajar dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Pakatan menganjurkan perhimpunan membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 itu dengan dihadiri sebilangan pemimpin mereka seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.

Chang berkata Pakatan Rakyat sepatutnya menerima keputusan yang disuarakan rakyat menerusi undi yang memilih BN pada PRU13 dan membuat analisis kelemahan mereka. "Ini adalah hak rakyat, macam mana mereka undi, kita hormati keputusan mereka. Kita jangan salahkan sesiapa...jangan gunakan kesempatan untuk mengeksploitasi hakikat pengundian," katanya.

Chang yang juga Pengerusi Gerakan Perak berkata rakyat perlu memahami bahawa Malaysia tidak menggunakan sistem pilihan raya 'proportional representatives' sebaliknya mengguna pakai sistem Britain iaitu 'constituency representatives' atau 'Westminster' yang mana berasaskan kawasan pilihan raya.

"Ini bukan satu isu yang patut dieksploitasikan, jika tidak berpuas hati gunakan cara demokrasi melalui Parlimen, buat pindaan jika mereka berkebolehan," katanya.

Beliau juga membidas Pakatan Rakyat yang mengeksploitasi statistik undi popular pilihan raya umum ke-13. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain