suria

Masjid dijadikan tempat semai budaya dan warisan negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Warisan Negara perlu memainkan peranan menjadikan masjid yang indah dan terkenal di seluruh negara sebagai tempat menyemai warisan dan budaya negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, peranan baru itu boleh menarik perhatian ramai terutama golongan muda untuk mendekati masjid di samping melebarkan peranan asas institusi agama dalam menyemai akidah.

"Kerajaan sudah menyediakan peruntukan untuk menyemarakkan peranan masjid di samping menjadikan institusi itu sebahagian daripada produk industri pelancongan," katanya pada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Rais melancarkan program Jejak Warisan Masjid sempena meraikan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 anjuran Islamic Educational, Scientific and Cultural Organisation (ISESCO).

Seramai 400 orang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan belia menerusi gerakan Merentas Kampus di Kuala Lumpur, menyertai program lawatan Jejak Warisan Masjid selama sehari itu.

Mereka dibawa melawat enam masjid iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jameul Ehsan Pekan di Setapak, Masjid India, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid AsySyakirin di KLCC serta sebuah muzium iaitu Muzium Kesenian Islam.

Rais berkata, Jabatan Warisan Negara sedang mengenal pasti beberapa masjid yang mempunyai ciri warisan besar dan mendalam untuk dibentangkan kepada kerajaan bagi tujuan membantu memelihara dan memulihara institusi agama itu.

"Kementerian sudah mengarahkan Jabatan Filem Negara untuk bekerjasama dengan Finas dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membuat dokumentari khas mengenai masjid yang mempunyai pelbagai nilai sejarah di seluruh negara," katanya

Rais berkata, penggambaran bahagian pertama dokumentari itu akan dimulakan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

"Apapun dokumentari itu tidak hanya dibuat untuk menarik perhatian masyarakat Islam sematamata tetapi juga menyelusuri pelbagai aspek termasuk seni bina masjid yang menggunakan seni bina pelbagai bangsa.

"Kita akan mengambil satu masjid di satu negeri dahulu, cernakan imej indah yang menarik dan juga mempunyai nilai-nilai sejarah yang luhur," katanya.

Kini terdapat 6,119 masjid di seluruh negara dengan 54 daripadanya terdapat di Kuala Lumpur dan 13,808 surau dan 406 daripadanya terletak di Kuala Lumpur.

Mengenai program ISESCO, Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam pula, Rais berkata, kementerian melalui Jabatan Warisan Negara akan melatih beberapa pemimpin masjid untuk menjadi pemangkin pengenalan dunia warisan dan dunia menilai seni Islam.

Nilai tambah kemahiran baru itu dipercayai dapat menarik generasi muda kepada satu cara hidup yang lebih lembut dan mengenal perjuangan sebenar dalam Islam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain