suria

Bekas ratu cantik mati ditembak di restoran

Goyburo maut selepas penyerang tidak dikenali melepaskan tembakan berkali-kali ke arahnya. -Foto JamPress

RAKAMAN video yang memaparkan detik seorang bekas ratu cantik ditembak mati di dalam sebuah restoran, menggemparkan warga maya.

Landy Párraga Goyburo, 23, yang pernah bersaing untuk merebut gelaran Miss Ecuador, menjadi sasaran penembak ketika dia sedang berbual dengan pasangannya.

Mereka dikatakan sedang menikmati sarapan pagi di pusat beli-belah La Quadra, El Guayacan di Quevedo pada pagi Ahad.

Menerusi rakaman CCTV, dua lelaki dilihat menyelinap masuk ke tempat kejadian sebelum salah seorang daripada mereka menyerbu ke arah Goyburo.

Goyburo ditembak beberapa kali sebelum penyerang melarikan diri dari tempat kejadian.

Imej menunjukkan wanita itu terbaring dalam keadaan berlumuran darah, sementara itu keadaan pasangannya tidak dapat dipastikan.

Polis kini melancarkan siasatan berhubung kes pembunuhan tersebut dalam usaha untuk mengesan penjenayah terlibat.

Goyburo yang mewakili Wilayah Los Ríos ketika menyertai pertandingan ratu cantik Miss Ecuador pada 2022, mengumpul lebih sejuta pengikut di seluruh akaun media sosialnya.

Namanya disebut dalam perbualan yang didedahkan kepada umum oleh Pejabat Peguam Negara pada Disember 2023, yang mana namanya dipetik dalam perbualan oleh individu yang mempunyai kaitan dengan kes jenayah terancang. -Mirror

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain