Kejam! Bayi 18 bulan mati kelaparan akibat dipaksa makan sayur dan buah oleh ibu bapa vegan

Ryan O'Leary dan Sheila O'Leary ditahan minggu lalu di Cape Coral, Florida selepas anak lelaki mereka yang berusia 18 bulan mati akibat kekurangan nutrisi. Foto: Lee Country Sheriff's Office

KEJAM! Itulah yang boleh disifatkan kepada ibu bapa ini yang memaksa bayi mereka memakan makanan berasaskan tumbuhan sehingga akhirnya mati kelaparan.

Ryan O'Leary, 30, dan Sheila O'Leary, 35, ditahan minggu lalu di Cape Coral, Florida selepas anak lelaki mereka yang berusia 18 bulan meninggal dunia pada 27 September dengan berat hanya sekitar 7 .7 kilogram (kg), iaitu berat untuk seorang bayi berusia tujuh bulan.

Autopsi mendapati bahawa bayi itu mati selepas mengalami komplikasi yang berkaitan dengan kekurangan zat makanan, termasuk dehidrasi, mikrosteatosis hati dan pembengkakan tangan, kaki dan peha, kata Polis Cape Coral dalam satu kenyataan.

Sheila O'Leary membuat panggilan kepada 911 selepas dia mendapati bayinya sejuk dan tidak bernafas.

Ryan O'Leary cuba menyelamatkannya, tetapi dia tidak berjaya.

Paramedik yang tiba tidak lama kemudian mengisytiharkan bayi itu mati.

Sementara itu, dua lagi anak pasangan berkenaan yang berusia tiga dan lima tahun turut kelihatan pucat.

Pihak berkuasa menimbang berat kanak-kanak tersebut dan mendapati kedua-duanya berada dalam lingkungan berat badan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Sheila O'Leary memberitahu polis bahawa keluarganya adalah vegan dan hanya memakan buah mentah dan sayur-sayuran.

Menurutnya, bayi itu diberi susu badan namun tidak memakan makanan pejal sejak seminggu lalu.  - Metro.co.uk

vegan, bayi, mati, kelaparan

Artikel Berikut

Artikel Lain