suria

Sembilan 'Wartawan' Sukan Komanwel Ditahan

Sekumpulan warga India ditahan selepas mendakwa sebagai wartawan untuk membuat liputan Sukan Komanwel di Brisbane walaupun tidak memiliki sebarang dokumen dalam bidang media massa.

SEORANG lelaki warga India didakwa atas kesalahan penyeludupan manusia selepas tiba di Lapangan Terbang Brisbane, Australia bersama lapan yang lain kononnya wakil media untuk membuat liputan temasya Sukan Komanwel.

Semua sembilan 'tetamu' asing dari India itu dipercayai tidak mempunyai dokumen sah sebagai pengamal media dan pemeriksaan mendapati mereka telah transit di Thailand.

Mereka telah ditahan dan disoal siasat Pasukan Tindakan Sempadan Australia (ABF) sebaik tiba di Brisbane.

"Lapan individu didapati memiliki dokumen palsu media asing, bagaimanapun warga India berusia 46 tahun yang juga mempunyai kelayakan sah disyaki membantu perjalanan kumpulan itu," kata pasukan penyiasat kes itu.

Lelaki berkenaan telah didakwa melibatkan kes penyeludupan manusia, memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat salah berkaitan warga asing.

Hukuman maksimum bagi setiap pertuduhan boleh mencapai sehingga penjara 20 tahun.

Lelaki berkenaan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Brisbane pada Khamis telah ditahan reman dan dijangka dibicarakan pada 6 April ini.

Bagaimanapun, lapan lelaki lain telah ditahan di pusat tahanan imigresen.-SCMP

Brisbane, Komanwel, India

Artikel Lain