suria

Helikopter Terhempas Semasa Bawa Bayi Ke Hospital

Tentera Serbia membuat pemeriksaan terhadap bangkai helikopter yang terhempas di Belgrade. Foto AFP

BELGRADE: Sebuah helikopter tentera Serbia yang membawa seorang bayi berusia lima hari untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital terhempas dalam keadaan kabus tebal dan mengakibatkan kesemua tujuh orang di dalamnya maut. 

Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic memberitahu saluran televisyen RTS, mereka yang terkorban ialah empat kru, dua kakitangan perubatan, termasuk seorang bayi.

Seorang ketua pegawai tentera Serbia, Ljubisa Dikovic berkata, ia merupakan insiden seumpamanya yang terburuk berlaku sejak 1996.

Kementerian Pertahanan Serbia dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian, helikopter jenis Mi-17 itu sedang membawa seorang bayi yang mengalami masalah pernafasan ke sebuah hospital di Belgrade dekat ibu negara pada lewat malam Jumaat.

Terdahulu, bayi itu dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans, tetapi kenderaan itu terkandas dalam perjalanannya akibat kejadian tanah runtuh di tengah Serbia, kira-kira 200 kilometer selatan Belgrade.

Pusat kawalan trafik udara terputus hubungan dengan helikopter itu yang sedang menunggu kebenaran untuk mendarat.

Vucic berkata, helikopter itu hilang dari radar beberapa minit kemudian.

Komando unit helikopter, Predrag Bandic memberitahu para pemberita bahawa helikopter itu cuba untuk mendarat sebanyak dua kali dalam keadaan kabus tebal yang mengehadkan jarak penglihatan.

Media tempatan melaporkan bahawa beberapa penerbangan komersial dilencongkan ke lapangan terbang lain berikutan keadaan kabus tebal.

Menurut pegawai tentera, juruterbang itu merupakan tentera Serbia yang paling berpengalaman, dengan catatan 4,000 jam penerbangan.

"Kru terbabit merupakan yang terbaik dalam tentera Serbia dan helikopter itu berfungsi baik sepenuhnya sebelum berlepas," kata Bandic.

Kerajaan Serbia mengisytiharkan Ahad sebagai hari berkabung buat negara itu. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain