suria

‘Setting’ masa dah betul, gadis keliru foto kemalangan dirakam 1 jam sebelum kejadian - “Paling misteri, dalam satu gambar ada saya sendiri”

Gambar yang 'terakam' sendiri pada pukul 6.26 pagi menunjukkan Faizah berada dalam foto tersebut namun kemalangan berlaku pada 7.30 pagi.

KEWUJUDAN gambar kemalangan yang dirakam 'sendiri' menerusi telefon bimbit seorang wanita sejam sebelum kejadian itu benar-benar berlaku kedengaran pelik tetapi itulah yang berlaku kepadanya.

Faizah Mohd Noh, 31, memberitahu dia terkejut dan keliru apabila melihat dirinya sendiri pada gambar tersebut yang kekal misteri sehingga kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bunyi riuh macam ada pasar dalam kebun getah... Waspada lalu jalan Bahau-Palong

Dedahnya, kemalangan tersebut berlaku pada 11 Oktober lalu sekitar pukul 7.30 pagi ketika dia memandu sendirian kenderaan jenis Perodua Axia di Taman Wira Mergong, Kota Setar, Kedah.

"Pada awalnya saya memang terkejut dan naik seram dibuatnya selepas mendapat tahu mengenai perkara itu.

"Saya memang ada rakam gambar selepas kemalangan itu sebagai bukti sebelum membuat laporan polis tetapi hanya dua gambar.

Keadaan kereta Faizah yang remuk akibat kemalangan. 

"Namun selepas memeriksa gambar yang diambil, saya terkejut kerana terdapat lebih dari dua gambar dalam telefon bimbit saya," katanya.

Lebih menghairankan, gambar itu merekodkan jam 6.26 pagi, sejam lebih awal dari kemalangan itu berlaku iaitu pada pukul 7.30 pagi.

Kewujudan gambar itu menjadi lebih misteri apabila terdapat gambar memperlihatkan dia berdiri di luar kereta yang turut dirakamkan sejam sebelum kemalangan itu benar-benar berlaku.

"Setahu saya, memang saya tidak berikan telefon ini kepada sesiapa pun waktu kemalangan dan ia sungguh pelik. Kejadian ini sangat misteri.

"Waktu itu, saya sendiri yang menghubungi 999, kawan-kawan selain telefon memang sentiasa ada di tangan saya," katanya.

Bagi mencari jawapan sebenar, Faizah turut memeriksa telefonnya kerana berkemungkinan penetapan waktu dan hari telefonnya itu rosak yang mungkin menjelaskan kewujudan gambar itu.

"Saya tengok balik, jam sewaktu sehari sebelum kejadian, elok saja. Kemudian saya cuba tangkap gambar sehari selepas kejadian, elok juga masanya, tidak pula jam tu berubah. Paling misteri, dalam satu gambar tu, ada saya sendiri di dalamnya," jelasnya.

Misteri... Faizah masih bingung bagaimana gambar tersebut boleh berada di dalam telefonnya. 

Bercerita lebih lanjut, katanya, ketika kejadian dia hendak pergi bekerja dari rumahnya di Langgar menuju ke Kangar, Perlis.

"Saya bekerja di Kangar tetapi menetap di Kedah. Jadi, setiap hari berulang-alik dari Langgar ke Kangar.

"Selalunya, Isnin hingga Khamis saya guna jalan sungai Korok, cuma setiap Jumaat saya akan lalu jalan tersebut sebab Kedah cuti, jadi jalan akan lengang.

"Lokasi kejadian itu di lampu isyarat Insaniah Taman Wira, Mergong," katanya.

Semasa tiba di lampu isyarat itu, Faizah meneruskan pemanduan kerana lampu hijau namun secara tiba-tiba ada sebuah kereta arah bertentangan dari arah Sahab Perdana membelok ke laluannya.

"Jadi saya tidak sempat brek dan berlaku perlanggaran di situ. Akibat perlanggaran itu, kereta saya berpusing 180 darjah.

"Kejadian berlaku di depan masjid. Jadi, orang masjid yang terlebih dahulu datang memberikan pertolongan. Saya ingat ada orang tanya saya ada kecederaan ke? Saya jawab tak.

"Lepas tu, saya diminta keluar daripada kereta sebab pintu sebelah saya tidak boleh dibuka lagi, jadi saya keluar ikut pintu penumpang dan ambil telefon serta beg tangan," katanya. - Sinar Harian

Telefon, Mistik, Kemalangan, Kedah

Artikel Lain