suria

Acara Silat Tukar Venue, Jadual

KUALA LUMPUR: Acara silat temasya Sukan SEA (KL2017) bakal berubah venue bagi saingan separuh akhir bermula 28 Ogos ini.

Faktor sambutan di luar jangkaan pada hari pertama acara Pencak Silat Seni yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Khamis menyebabkan pihak penganjur Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc), Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan semua pengurus kontinjen negara bersetuju untuk mengubah venue selepas ini.

"Perubahan venue ke Stadium Juara, Bukit Kiara yang lebih besar dan berdasarkan jumlah kehadiran penonton dua kali ganda daripada kapasiti yang dijangka pada hari pertama saingan.

"Ramai yang tidak dapat masuk kerana tempat duduk tidak mencukupi, dan ada di kalangan mereka yang sudah beli tiket. 

"Memahami bahawa silat adalah sukan tempur, sukan yang mana memerlukan bantuan sokongan daripada penyokong. Tambahan pula kita mempunyai dua ikon, Olahragawan Negara, Mohd. Al-Jufri Jamari serta Olahragawi Negara 2016 Siti Rahmah Mohamed Nasir.

"Pengurus-pengurus negara lain yang mengambil bahagian juga bersetuju untuk venue yang lebih besar bagi penyokong mereka terutanya dari Singapura dan Indonesia

"Di Stadium Juara, kapasiti penyokong mencecah 3,000 orang," ujar Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin pada sidang media khas.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Masoc, Datuk Seri Zolkples Embong dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain memberitahu, faktor keselamatan juga antara sebab perubahan venue dibuat.

"Walaupun baharu pertandingan hari pertama semalam (Khamis), kita sudah lihat ketegangan di wajah penyokong. Tempat duduk yang dekat dengan juri menimbulkan kerisauan.

"Jadi di venue baharu ini, penonton tidak boleh mempengaruhi atau mengancam juri," jelasnya.

Megat Zulkarnain juga mengakui perubahan venue ini akan turut memberi kesan kepada jadual pertandingan.

"Jadual asal bermula 25,26 dan 27 Ogos, manakala 28 Ogos rehat dan final pada 29 Ogos.

"Tetapi mengambil kira pihak penyiaran yang memerlukan masa untuk menyediakan peralatan mereka di tempat baharu, jadi kami bersetuju memberi tempoh 36 jam untuk kerja-kerja mereka.

"Jadi jadual esok (Sabtu) perlawanan pada sebelah petang akan ditukar ke pagi. Dijangka semua pertandingan akan tamat pada pukul 6 petang kerana pihak penyiaran akan memulakan tugas memindahkan peralatan mereka.

"Pada 27 Ogos hari rehat, separuh akhir pada 28 Ogo, manakala pusingan akhir kekal 29 Ogos," tambahnya.

Pencat silat merupakan acara paling banyak yang mempertandingkan pingat emas iaitu 16 pingat pada hari akhir kejohanan dalam dua kategori.

Silat, KL2017

Artikel Lain