suria

Prestasi Sukan Negara Tidak Merudum - Khairy

Khairy meminta agar rakyat tidak menghukum prestasi sukan negara dengan melihat pencapaian skuad bola sepak kebangsaan.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meminta agar rakyat tidak menghukum prestasi sukan negara dengan melihat pencapaian skuad bola sepak kebangsaan.

Katanya kebanyakan sukan telah membuktikan bahawa atlet mereka mampu mempamerkan prestasi dan pencapaian terbaik di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata rakyat tidak sepatutnya menganggap prestasi sukan negara merosot berikutan hanya satu jenis sukan yang tidak menunjukkan pencapaian terbaik.

"Sukan kita tidak merudum, sukan kita di landasan betul, cuma bola sepak (belum menunjukkan prestasi baik)," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (Shakam), di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Isnin malam.

"Walaupun bola sepak kita kalah, sukan lain seperti ragbi kita juara di Kejohanan Ragbi Asia. Malah kita berada di ranking keempat Asia di belakang Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong," katanya.

Selain ragbi, Khairy turut berpuas hati dengan pencapaian atlet olahraga seperti Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan yang mempamerkan pencapaian terbaik di beberapa kejohanan disertai mereka.

Katanya kemunculan perenang remaja Welson Sim dan pencapaian atlet lompat tinggi Nauraj Singh sedikit sebanyak meredakan kebimbangan beliau berhubung ketandusan pingat emas dalam acara renang dan lompat tinggi pada Sukan SEA 2017.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 26 atlet negara telah layakberaksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos depan.

Sementara skuad paralimpik negara pula, seramai 13 atlet telah mengesahkan tempat mereka ke temasya itu yang dijadual berlangsung pada September, dua minggu selepas berakhir Sukan Olimpik 2016.

"Kita akan melihat saingan antara kontinjen Olimpik dan Paralimpik, yang mana akan menjadi penyumbang emas pertama negara.

"Saya juga akan umumkan insentif bagi pemenang pingat emas pertama negarapada Sukan Olimpik sebelum temasya itu bermula," katanya.

Pada sidang media kemudian, Khairy berkata rakyat tidak seharusnya menilai prestasi sukan negara secara keseluruhan berdasarkan beberapa jenis sukan popular sahaja.

"Atlet daripada sukan lain telah mempamerkan prestasi yang membanggakan negara. Jadi, mereka juga perlu dinilai dan dihargai," katanya. -Bernama

Sukan Negara Tidak Merudum

Artikel Sebelum

Artikel Lain