Petronas Terbitkan Laporan Unjuran Aktiviti 2018-2020 - Niaga | mStar

Petronas Terbitkan Laporan Unjuran Aktiviti 2018-2020

Diterbitkan: Isnin, 4 Disember 2017 3:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menerbitkan laporan Unjuran Aktiviti Petronas (PAO) untuk tahun 2018-2020, bagi berkongsi perspektif dalam arah aliran industri, jangkaan permintaan termasuk aktiviti-aktiviti yang dirancang bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Petronas dalam satu kenyataan, berkata laporan itu bertujuan untuk meningkatkan aliran maklumat pasaran, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosi dan menggalakkan sektor perkhidmatan serta minyak dan gas (OGSE) yang lebih berdaya tahan dan berdaya maju.

"Sejak beberapa tahun lepas, aktiviti dalam industri ini mula berkurangan berikutan kejatuhan harga minyak.  "Selepas pengurangan pengeluaran minyak pada kira-kira 1.8 juta tong sehari oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), harga kekal dalam jajaran US$50 - US$60 (US$1 = RM4.08) setong," katanya.

Laporan itu menekankan peluang-peluang yang mampu diwujudkan oleh Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), salah satu pembangunan industri minyak dan gas (O and G) yang terbesar di rantau ini dan pelaburan hiliran yang terbesar oleh syarikat itu, sehingga sekarang.

"PIC, yang akan memulakan operasi pada 2019, dijangka menjadi pemangkin untuk pertumbuhan. Disebabkan oleh saiz kompleks tersebut, aktiviti-aktivitinya dijangka berganda, sebaik sahaja memulakan operasi.

"Adalah dianggarkan bahawa dalam tempoh lima hingga 10 tahun, Kompleks ini akan mendorong pembangunan bandar-bandar baharu dengan limpahan aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan masyarakat setempat," katanya.

Naib Presiden Perolehan Kumpulan Petronas, Samsudin Miskon, berkata ketidaktentuan dalam sektor O and G terus membimbangkan, oleh itu ia adalah penting bagi pemain industri untuk memahami trend utama sebagai satu barometer bagi industri.

"Usaha-usaha Petronas untuk menangani ketidakpastian adalah dengan mendorong ketelusan maklumat yang akan membantu memberi keseimbangan semula kepada aktiviti pasaran.

"Ini akan memberikan impak positif ke atas ekosistem sokongan seperti pelaburan dan pembiayaan, yang penting dalam mempromosikan sektor OGSE yang berkembang maju," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan