Industri Hartanah Diunjur Terus Mencabar Tahun Depan

Diterbitkan: Ahad, 27 Disember 2015 3:41 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, industri hartanah diunjur kekal sukar pada tahun depan setelah melalui tempoh lonjakan harga pada 2011-2013 yang menyaksikan harga rumah naik sehingga dua angka.

Walaupun kerajaan menyasar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  kukuh pada 4.0-5.0 peratus tahun ini, peserta industri berpendapat prestasi harga sektor perumahan tahun depan tidak berubah atau menunjukkan pertumbuhan yang sedikit.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UEM Sunrise Bhd Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata 2016 dijangka menyaksikan kesan sepenuhnya kelembapan  perbelanjaan pengguna daripada kelemahan ringgit, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kelemahan sentimen pengguna.

Bagaimanapun, prestasi pasaran hartanah tahun depan juga bergantung kepada lokasi, jenis produk dan harga.

"Kawasan di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang dengan infrastruktur yang baik atau dengan projek pengangkutan awam serta hartanah berharga sederhana (di bawah RM1 juta), berkemungkinan akan meningkat dari segi permintaan.

"Di Johor, kami menjangka permintaan bagi hartanah bertanah akan kukuh terutama bagi unit berharga kurang daripada RM500,000," katanya.

Sementara itu, pasaran hartanah pada 2015 dianggap kurang memberangsangkan, terutamanya disebabkan oleh kelembapan susulan lonjakan harga yang dialami pada 2011-2013.

Sejak separuh kedua tahun ini, terdapat laporan peningkatan jumlah pelabur yang bersedia untuk membuat tawaran bagi hartanah mereka walaupun pada harga di bawah harga pasaran.

Menurut laporan terkini oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah  (JPPH), keadaan hartanah kediaman yang tidak terjual di Kuala Lumpur kurang memberangsangkan.

Jumlah hartanah tidak terjual pada separuh pertama 2015 meningkat kepada 1,346 unit bernilai RM1.23 bilion, naik sebanyak 28.7 peratus dalam jumlah dan 28.1 peratus dalam nilai berbanding tempoh yang sama pada 2014.

Laporan berkenaan juga mendedahkan bahawa peningkatkan hartanah tidak terjual "dalam pembinaan dan bukan dibina" masing-masing kepada 10,742 dan 1,181 unit.

Terdapat 9,291 urus niaga bernilai RM11.01 bilion yang dicatatkan pada separuh pertama 2015 di Kuala Lumpur, susut 7.4 peratus dalam jumlah berbanding tempoh sama 2014 manakala urus niaga berkurangan 6.5 peratus selepas mengalami peningkatan 18.1 peratus pada tempoh yang sama sebelumnya.

Berikutan persaingan sengit yang dihadapi di beberapa lokasi bagi segmen produk mewah, Anwar berkata beberapa pemaju menawarkan insentif untuk menarik pembeli hartanah.

"Pergerakan harga bergantung kepada lokasi, jenis produk dan jualan yang  unik. Sekiranya produk dalam kumpulan harga yang tepat terletak di kawasan dengan infrastruktur yang baik, berkemungkinan meningkat dari segi nilai.

"Bagaimanapun, hartanah mewah di kawasan tertentu seperti MontKiara, Kuala Lumpur, masih kukuh. Rumah-rumah berharga sederhana berhampiran bandar mendapat permintaan tinggi yang membantu mengekalkan harga," katanya.

Anwar berkata pasaran sewa mungkin berdepan tekanan pada tahun depan setelah beberapa pembeli rumah yang membeli pangsapuri mewah pada tiga tahun lepas, mungkin sukar mendapatkan penyewa atau pembeli jika berhasrat menjualnya.

"Kebanyakan mereka yang membeli rumah dengan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) kini perlu membayar pinjaman mereka.

"Jika mereka tidak boleh menjual, mereka perlu menyewa hartanah mereka dan akan terdapat banyak tawaran di pasaran yang akan menurunkan kadar sewa ," katanya.

Mengenai strategi UEM Sunrise pada masa depan, Anwar berkata syarikat akan ke kawasan-kawasan yang dekat dengan pusat bandar di Kuala Lumpur dan Selangor, membina pangsapuri dan kondominium harga sederhana hingga sederhana mewah.

Sebaliknya, bagi kawasan-kawasan yang jauh dari pusat bandar, beliau berkata pemaju hartanah merancang untuk membina hartanah bertanah berharga sederhana.

"Perkara utama ialah menawarkan produk pada harga sederhana kerana segmen ini masih mendapat permintaan disebabkan oleh demografi dan tahap pendapatan.

Kami mengkaji demografi di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Meskipun kelemahan ringgit menyebabkan kos pembinaan meningkat, beliau berkata kesan berkenaan sedikit sebanyak dapat diimbangi dengan harga komoditi terutamanya palang keluli, yang turun dengan ketara.

"Secara keseluruhan, kami menjangka peningkatan 5.0-6.0 peratus dalam kos sekiranya ringgit terus diniagakan pada kadar tukaran semasa (US$1 = RM4.23)," katanya.

Sementara itu, bagi SP Setia Bhd, syarikat akan memberi tumpuan ke kawasan yang mendapat permintaan, termasuk rumah bertanah dan mampu milik.

Pemangku Presiden dan CEO Datuk Khor Chap Jen berkata pemaju induk  bandar Setia Alam itu juga akan memberi perhatian ke beberapa pasaran yang kurang diberi tumpuan di dalam dan luar negara.

"Kami sedia menukar produk kami bagi memenuhi permintaan di pasaran yang kurang diberi tumpuan. Sementara itu, kami meninjau ke luar negara kerana pasaran tempaan sebenarnya agak terhad," katanya dan menambah yang syarikat merancang untuk memperluaskan kedudukan di Australia dan United Kingdom.

Mengenai perolehan, Khor berkata 70 peratus dijangka diperoleh daripada perniagaan dalam negara dan selebihnya dari luar negara.

"Kami menyasar sumbangan perolehan daripada projek-projek luar negara kami untuk mencapai kira-kira 40-50 peratus tahun depan," katanya.

CEO Eco World Bhd Datuk Chang Khim Wah mengunjur permintaan bagi hartanahnnya kekal kukuh setelah kebanyakan projek terletak berhampiran kawasan aktiviti ekonomi tinggi.

"Bagi Eco World, semua projek kami sebenarnya di lokasi strategik di mana terdapat peluang pekerjaan, kemudahan awam, mudah diakses dengan lebuh raya," katanya.

Meskipun kebanyakan pemaju menjangka tahun yang sukar bagi industri pada 2016, Wah berkata masih terdapat peluang dan ruang.

Beliau berkata asas ekonomi Malaysia yang kekal kukuh dengan kadar pengangguran yang rendah, sasaran pertumbuhan KDNK pada 4.0-5.0 peratus dan kenaikan gaji pada tahun depan dapat menyokong industri.

Tags / Kata Kunci: Eco World , Perumahan , Hartanah , Rumah

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan