Kerajaan Perlis Tawar Pengusaha Tempatan Buka Kilang Kitar Semula

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2015 4:30 PM

(Ubah saiz teks)

PADANG BESAR: Kerajaan Perlis menawarkan pengusaha tempatan untuk memdirikan kilang kitar semula di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Mat Hassan.

Beliau berkata pengusaha yang berminat melaksanakan projek itu dipelawa berbincang dengan pihak SWCorp untuk mendapat khidmat nasihat dan kerajaan negeri sedia memberi sokongan.

Kerajaan negeri menggalakkan pembukaan kilang memproses bahan buangan bagi memastikan tapak pelupusan tidak cepat penuh dan perlu membuka tapak baharu, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program 'Kemuncak Pengumpulan 1 Juta Botol Sempena Pelaksanaan Asingkan Sisa Pepejal Dari Sumber' peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beseri di sini, Selasa.

Katanya tapak pelupusan sampah Padang Siding di Arau hampir penuh dan tapak baharu di Felda Rimba Mas akan dibina tidak lama lagi.Beliau berkata, sisa buangan pelbagai jenis makanan boleh diproses menjadi baja manakala bahan-bahan plastik dan kertas boleh dikitar semula.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mat berharap program itu akan menyedarkan masyarakat khususnya pelajar kepentingan mengasingkan jenis-jenis sampah yang dikuatkuasakan hari ini.

Pengarah SWCorp Perlis, Mohd Zahir Shari berkata Perlis menghasilkan 200 hingga 300 metrik tan sampah oleh pemilik lebih 23,000 premis di 232 buah taman perumahan setiap hari.

Katanya, 40 peratus sampah daripada jumlah itu adalah sisa makanan dan bakinya adalah plastik dan kertas yang boleh dikitar semula.

Pada majlis itu, Mat turut menyampaikan hadiah kepada pelajar yang menang pertandingan memungut botol plastik yang dibuang serta menyampaikan sijil kepada pemimpin masyarakat yang membantu menjayakan kempen itu.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Perlis , kitar semula , Mat Hassan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan