Majlis Perdagangan Pelaburan M'sia-Uzbekistan Bakal Ditubuh

Diterbitkan: Khamis, 8 Mei 2014 2:46 PM

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat senaskah Al Quran di Kompleks Imam Hazrati ketika lawatan ke Tashkent.

(Ubah saiz teks)

TASHKENT: Malaysia bersetuju dengan cadangan penubuhan majlis perdagangan dan pelaburan Malaysia-Uzbekistan.

Perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat meja bulat perniagaan dengan usahawan Uzbekistan dan Malaysia pada Rabu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya fikir ini memang tepat, saya bersetuju," kata beliau kepada media Malaysia selepas sesi meja bulat itu sejurus sebelum berlepas pulang dari Tashkent di hari terakhir lawatan rasminya selama empat hari ke Uzbekistan.

Beliau berkata majlis yang dicadangkan itu akan membolehkan ahli perniagaan Malaysia dan Uzbekistan membincangkan pelbagai perkara dan mengusulkannya kepada kerajaan serta agensi relevan untuk tindakan selanjutnya.

"Ini akan permudahkan perkara-perkara yang nak dilaksanakan kerana kedua-dua pihak (ahli perniagaan dan pelabur) duduk bersemuka dalam satu badan sebegini," kata beliau pada sidang akhbar sempena hari terakhir lawatannya di sini.

Menurut Muhyiddin, penubuhan majlis perniagaan seumpama itu memang biasa dilakukan banyak negara untuk melicinkan perjalanan perniagaan, sekali gus memanfaatkan prospek dan peluang yang wujud.

Sambil menyifatkan lawatan itu sebagai berjaya, beliau berkata: "Kita berpeluang menjalin hubungan baik secara rasmi atau peribadi dengan kepimpinan Uzbekistan yang menyaksikan banyak kemajuan dan kata sepakat dalam hubungan dua hala dicapai dalam perbincangan kami."

Timbalan Perdana Menteri berkata kesungguhan pihak Uzbekistan untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia memang dapat dirasai.

Malaysia, jelas Muhyiddin, melihat Uzbekistan sebagai pangkalan untuk memasuki pasaran di rantau ini dan meningkatkan penglibatan dalam perdagangan.

Beliau seterusnya berkata perjumpaan meja bulat yang disertai Menteri Perhubungan Ekonomi Luar, Pelaburan dan Perdagangan Uzbekistan, Elyor Ganiev, itu turut bersetuju supaya jawatankuasa bersama perdagangan dan pendidikan digerakkan sekerap mungkin untuk melaksanakan secara konkrit segala hasil perbincangan.

"Dalam perbincangan itu, menteri berkenaan telah memberi kenyataan amat menggalakkan yang mana saya difahamkan semua agensi di pihak Uzbekistan diminta memberi kerjasama dalam segala bidang.

"Tak ada satu bidang yang terbatas...untuk mengadakan kerjasama dari segi perdagangan dan pelaburan," kata Muhyiddin sambil merujuk kepada perdagangan dua hala bernilai US$71 juta pada 2013 yang disifatkan masih kecil nilainya.

Selain itu, beliau berkata Uzbekistan berminat menarik pelaburan Malaysia di bidang seperti pembuatan barangan elektrik dan elektronik, minyak dan gas, sektor perkhidmatan, utiliti, infrastruktur, pelancongan dan pendidikan.

"Saya lihat agak luar biasa dalam lawatan sebegini bidang-bidang itu disebut satu persatu, bermakna mereka menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh. Ini satu perkembangan menggalakkan," kata beliau.

Muhyiddin turut mengulas beberapa kekangan yang dilihat boleh membantutkan usaha meningkatkan aktiviti perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk soal menghantar pulang keuntungan yang diraih.

Beliau menegaskan isu seperti itu perlu diperinci dan ditangani kerana pelaburan hanya akan mengalir masuk jika pihak kerajaan berkaitan dapat memastikan segala masalah yang mungkin timbul dapat ditangani sejak awal.

"Saya fikir prospek (di sini) besar tapi cabaran pun banyak. Tapi kita tak boleh abaikan kerana pasaran di rantau sini agak besar," jelas beliau.

Sepanjang lawatan itu, program Muhyiddin termasuk mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev dan melawat Uzbekistan State University of World Languages untuk terus mempromosi pengajaran serta pembelajaran Bahasa Melayu.

Beliau juga melancarkan Pesta Pendidikan dan Pameran Kesenian Malaysia 2014 serta menghadiri perhimpunan bersama komuniti Malaysia di sini.


Tags / Kata Kunci: Tashkent , Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan