suria

Pembelian SapuraKencana Membuahkan Hasil

Shahril Shamsuddin.

KUALA LUMPUR: Perolehan SapuraKencana Petroleum Bhd pada masa akan datang dijangka meningkat ekoran pembeliannya pada masa lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

"Contohnya, pengambilalihan perniagaan pelantar tender Seadrill oleh kumpulan ini dengan harga AS$3 bilion baru-baru ini telah meningkatkan keuntungan kami bagi tahun kewangan 2014 (TK14) dengan ketara. 

"Dalam TK14, perolehan daripada bahagian perkhidmatan penggerudian dan tenaga melonjak kepada RM969 juta daripada RM275 juta dalam tahun sebelumnya," katanya kepada pihak media berhubung keputusan kewangan TK14 syarikat itu.  

Shahril berkata, kumpulan itu telah menandatangani satu perjanjian pembiayaan semula berjumlah RM16.5 bilion (AS$5 bilion) dengan 13 bank tempatan, serantau dan antarabangsa. 

Program pembiayaan semua itu diadakan untuk menggantikan dan memperkemas kemudahan-kemudahan yang diwarisi berikutan penggabungan SapuraCrest Petroleum dengan Kencana Petroleum pada 2012.

Peanjian itu juga ditandatangani bagi pembiayaan dua pengambilalihan

terbaru kumpulan itu, iaitu perniagaan pelantar tender Seadrill yang sejak itu telah diberikan nama baharu, SapuraKencana Drilling, dan pembelian keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Newfield Malaysia Holding Inc. 

Shahril berkata, sebenarnya lebih 85 peratus daripada pinjaman itu bersandarkan aset dan kontrak. 

"Tidak lama lagi akan ada pengaliran masuk tunai untuk membolehkan pembayaran balik hutang itu. Buat masa ini modal hutang berbanding nilai saham kami adalah sebanyak 1.2 kali (pada 31 Jan, 2014), tetapi selepas tiga tahun, ia seharusnya turun ke bawah paras satu, iaitu sama seperti gearan sebelum penggabungan. 

"Bagi masa depan, kami menjangkakan sumbangan daripada Newfield, dan itu pastinya akan meningkatkan semula keuntungan kami," tegas beliau. 

Keuntungan sebelum cukai SapuraKencana melonjak 69 peratus kepada RM1.124 bilion bagi tahun kewangan berakhir Januari tahun ini, daripada RM664 juta tahun lepas.

Pendapatan bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas ini bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari, 2014 meningkat 21 peratus kepada RM8.3 bilion daripada RM6.9 bilion tahun lalu.

Artikel Lain