suria

Perbelanjaan Modal Sektor Minyak Dan Gas Huluan M’sia Diunjur Hampir AS$60 Bilion Dalam 5 Tahun – Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat ruang pameran pada majlis pelancaran 'Offshore Technology Conference ASIA' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur, Selasa. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan modal dalam perniagaan huluan sektor minyak dan gas Malaysia diunjur mencecah hampir AS$60 bilion (kira-kira RM198 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Beliau berkata, jumlah itu memberi sumbangan besar kepada keseluruhan perbelanjaan huluan di Asia Tenggara yang dijangka menerima satu perlima daripada perbelanjaan huluan global dalam dekad akan datang. 

"Meskipun perbelanjaan huluan global dalam sektor minyak dan gas dijangka kekal sekitar AS$700 bilion (kira-kira RM2.31 trilion) dalam tempoh dekad akan datang, hampir 20 peratus daripada perbelanjaan ini akan berada di sini di Asia Tenggara," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan pada perasmian Persidangan Teknologi Luar Pantai Asia 2014 yang pertama. 

Najib berkata, bagi memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor tersebut di rantau ini, Malaysia berminat menarik lebih ramai peserta antarabangsa untuk membuat pelaburan strategik di negara ini dan melengkapkan syarikat tempatan. 

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Najib berkata, peserta persidangan itu harus melihat Malaysia daripada perspektif serantau yang lebih meluas dan menimbang negara sebagai rakan kongsi perniagaan strategik dalam rangka kerja Asean. 

Beliau berkata, Malaysia memiliki gabungan ramuan yang terbaik bagi hab tenaga serantau dan industri minyak dan gas domestik yang aktif dan pesat, disokong oleh sumber yang besar, dasar progresif dan menyokong yang disediakan oleh kerajaan dan keupayaan teknikal yang telah terbukti.  

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia mempunyai rangka kerja kawal selia dan perundangan yang mantap bagi melindungi kepentingan pelabur komersil dan negara berkedudukan baik menjadi hab serantau bagi mesin dan peralatan fabrikasi dan perkhidmatan minyak dan gas.

"Dengan keupayaan domestik kami, kami percaya Malaysia merupakan pangkalan ideal bagi perniagaan untuk mengembangkan operasi minyak dan gas mereka," katanya.  

Najib berkata, industri minyak dan gas Malaysia yang dinamik telah dipermudahkan menerusi kerjasama rapat dan sokongan kerajaan melalui dasar progresif seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), insentif yang dirangka dengan baik dan komunikasi dua hala yang aktif.

Artikel Lain