Hakim & Legasi Penghakimannya

Diterbitkan: Isnin, 16 November 2015 5:02 PM

Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus

(Ubah saiz teks)

DATUK Mohd Hishamudin Mohd Yunus telah bersara daripada badan Kehakiman akan tetapi integriti, keberanian berprinsip dan komitmen tanpa berbelah bahagi kepada keluhuran Perlembagaan yang telah ditunjukkannya akan sentiasa diingati.

Bagi mereka yang mempelajari perundangan awam pastinya akan merasai kehilangan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang telah mewarnai kehakiman negara selama 23 tahun apabila beliau bersara pada 9 September lalu.

Legasi beliau ketika berada dalam bidang kehakiman ditinta dengan integriti, keberanian berprinsip dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada keluhuran Perlembagaan.

Beliau menunjukkan kecendurangan untuk peka terhadap kebebasan asasi dan menafsir undang-undang dengan unsur-unsur kreatif dan aktivis. Datuk Hishamudin akan sentiasa diingati dengan penuh hormat oleh mereka yang percaya bahawa badan kehakiman mempunyai tanggungjawab untuk menjaga hubungan antara kuasa sesebuah kerajaan dengan hak-hak warganegara.

Kebebasan individu: Barangkali beliau akan diingati dengan penghakimannya dalam kes trilogi Abdul Ghani Haroon v IGP. Dalam siri kes yang melibatkan penahanan pencegahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Datuk Hishamudin membuat penghakiman yang bersifat revolusioneri dan berani.

Pertama, pemohon habeas corpus mempunyai hak untuk hadir ke mahkamah sewaktu prosiding dijalankan. Malangnya keputusan ini ditolak oleh Mahkamah Persekutuan yang mengambil pendekatan interpretasi literal mengenai Perkara 5(2).

Perlu dinyatakan di sini bahawa jika terhadap dakwaan berlakunya penyeksaan dan kematian dalam tahanan maka satu-satunya jalan yang ada untuk mengemukakan fakta ialah membawa tahanan ke mahkamah.

Kedua, budi bicara pihak polis untuk menahan seseorang bukanlah sesuatu yang mutlak. Semakan kehakiman terhadap budi bicara eksekutif adalah perlu jika tiada alasan penahanan dan butir-butirnya diberikan; akses kepada peguam dan keluarga tidak dibenarkan; dan wujudnya unsur-unsur tidak munasabah dan niat jahat dalam tatacara perilaku anggota polis.

Ketiga, pihak polis boleh dilarang daripada menangkap semula tahanan sebaik sahaja beliau dilepaskan.

Dalam kes ISA yang lain, Datuk Hishamudin membenarkan gantirugi RM2.5 juta kepada Abdul Malek Hussin kerana ditahan tanpa sah dan kecederaan yang dialaminya.

Penghakiman di atas jelas sekali bertentangan dengan persepsi bahawa badan kehakiman berada di bawah ‘kekuasaan’ badan eksekutif dalam hal-hal berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam dalam kes-kes penahanan pencegahan.

Kesaksamaan: Dalam Manoharan Malayalam (2013), pihak plaintif mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan mendiskriminasi Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis Tamil dan hal ini bertentangan dengan Perkara 4,8 dan 12 Perlembagaan.

Mahkamah Tinggi tidak membenarkan locus standi (hak untuk menyaman). Namun, Datuk Hishamudin dan hakim-hakim di Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dan membenarkan pihak pemohon untuk menyampaikan hujah-hujahnya kerana rakyat prihatin dengan aduan yang berniat baik terhadap pencabulan hak asasi perlu diberi hak untuk mendengar atas dasar merit.

Dalam kes transgender dan cross-dressing Muhamad Juzaili (2015), Datuk Hishamudin dalam menyampaikan keputusan bersama, berpendapat bahawa seksyen 66 Enakmen Negeri Sembilan yang mengenakan denda terhadap lelaki yang menyerupai pakaian perempuan tetapi tidak mengenakan hukuman yang sama terhadap wanita berpakaian seperti lelaki adalah bertentangan dengan doktrin kesaksamaan.

Kebebasan bersuara dan berpersatuan: Dalam kes Hilman, Datuk Hishamudin dan Linton Albert memutuskan bahawa seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang mahasiswa daripada mengekspresikan sebarang simpati atau sokongan kepada mana-mana parti politik adalah bertentangan dengan kebebasan yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan.

Rahsia: Dalam menyampaikan keputusan tidak bersetuju/minoriti berkaitan Akta Rahsia Rasmi dan hal-hal rahsia berkaitan perjanjian konsesi air, beliau tidak bersetuju bahawa menteri tidak perlu diminta untuk memberitahu isi perjanjian dan laporan audit: Menteri Tenaga v MTUC (2012).

Harta benda: Dalam Ismail Bakar (2010), kelewatan selama sembilan tahun dalam melaksanakan arahan pampasan wajib mengakibatkan arahan itu tidak sah dan terbatal. Dalam Ee Ching Pang (2013), kegagalan kerajaan Melaka untuk mematuhi prosedur mandatori untuk mengeluarkan borang A mengakibatkan arahan pengambilan wajib tanah terbatal.

Mahkamah Syariah: Di samping mengakui bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam perkara-perkara yang telah digariskan oleh Perlembagaan, Datuk Hishamudin tidak menuruti jejak langkah hakim-hakim yang meletakkan semua urusan undang-undang agama di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Dalam Kadar Shah Tun Sulaiman (2008), beliau memutuskan bahawa kumpulan wang amanah antara Muslim adalah di bawah bidangkuasa Persekutuan.

Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus


Dalam Siti Hasnah Vangarama Abdullah (2012), kanak-kanak berusia 7 tahun dilahirkan dalam keluarga Hindu telah ditukar agamanya oleh pihak berkuasa agama Pulau Pinang tanpa persetujuan ibu bapanya. Beliau kemudiannya mencabar keperlembagaan tindakan tersebut setelah mencapai usia matang. Isu yang timbul dalam kes ini ialah sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini. Datuk Hishamudin memutuskan bahawa memandangkan kebebasan asasi di bawah Perkara 11 dan 12 turut diambil kira, maka Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa eksklusif dalam perkara ini.

Interpretasi Kreatif: Dalam sebuah artikel yang dinukilkan pada tahun 2011, beliau secara terbuka menyokong aktivisme dalam penghakiman dan ia adalah sesuatu yang wajar dilakukan memandangkan soal kehidupan adalah lebih besar daripada undang-undang dan sudah tentu undang-undang tidak dapat meneka dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

Keadilan dan ekuiti: Dalam usaha menegakkan keadilan, Datuk Hishamudin seringkali membebaskan dirinya daripada doktrin penghakiman terikat. Dalam penghakiman minoritinya dalam kes Ishak Hj Shaari v PP (2011), beliau memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan yang dibuat oleh mahkamah itu untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan.

Dalam sebuah kes yang lainnya, beliau meminta Parlimen menghapuskan atau menilai semula ISA bagi mengelakkan atau mengurangkan penyalahgunaan kuasa seperti yang ditekankan dalam keputusannya itu.

Dalam beberapa penghakiman yang lain, Datuk Hishamudin tidak teragak-agak untuk menegur mana-mana peguam atau hakim yang tersasar daripada matlamat asal yakni menegakkan keadilan. Dalam Raja Segaran (2008) beliau tidak membenarkan locus standi kepada peguam yang cuba menghalang Majlis Peguam daripada mendiskusikan salahlaku Ketua Hakim Negara. Walaupun pada masa itu beliau hanyalah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hishamudin tidak bersetuju dengan penghakiman Mahkamah Rayuan untuk melarang diskusi tersebut.

Dalam kes Dato’ V. Kanagalingam v David Samuels (2006), seorang peguam terkenal membuat tuntutan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap pengarang artikel di dalam sebuah majalah komersial. Dalam mengenepikan tuntutan tersebut, Datuk Hishamudin merujuk kepada salahlaku peguam tersebut di dalam kes Ayer Molek di mana Mahkamah Rayuan mengambil kira akan kes tersebut. Beliau memutuskan bahawa seseorang tidak boleh membuat tuntutan sedemkian berdasarkan kesalahan yang memang benar dilakukan olehnya.

Beliau juga mengkritik keras kuorum Mahkamah Persekutuan yang tidak sah dalam kes itu di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan agar kenyataan Mahkamah Rayuan tersebut dibuang (In sum, his judicial life was one of courage and conviction. He leaves behind large footprints and the legal community will miss him.

Secara kesimpulannya, kehidupan beliau sebagai seorang hakim adalah satu kehidupan yang dipenuhi dengan keberanian dan keyakinan. Datuk Hishamudin telah meninggalkan satu jejak langkah yang besar dan sudah tentu, komuniti undang-undang akan merindui jasa dan sumbangannya.


> PROF EMERITUS DR SHAD SALEEM FARUQI adalah kolumnis perundangan di akhbar harian The Star.
Tags / Kata Kunci: Hakim , Mahkamah , UiTM , ISA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan