suria

Lelaki Ini Gilakan Botol Coke

FREDDIE Lee bukan seorang pencari barangan terpakai, tetapi apabila beliau ternampak sebiji botol Coca-Cola di sebalik timbunan sampah, dia sanggup mengoreknya keluar. Barangan tersebut mengimbas kembali memori zaman kanak-kanak ketika beliau menikmati air berkarbonat itu daripada botol kaca.

"Ketika itu, saya sedang bertugas di Muar, Johor dan duduk di balkoni sebelum satu barangan yang biasa dilihat menarik perhatian saya. Sudah sekian lama saya tidak ternampak sebiji botol Coke satu liter dan secara spontan, saya berasa sungguh teruja. Pada masa kini, air soda diisi dalam botol plastik atau tin," kata jurutera berusia 50 tahun itu.

Beliau kemudiannya membasuh botol itu dan membawanya pulang untuk diletakkan sebagai hiasan. Setiap hari, Lee mengagumi botol tersebut dan tidak lama kemudian, beliau memburu lebih banyak botol Coca-Cola. Baginya, sebiji botol tidak mencukupi untuk diletakkan dalam kabinet.

Kisah itu berlaku 18 tahun dahulu dan sejak itu, Lee telah mengumpulkan lebih 2,000 biji botol pelbagai bentuk, saiz, warna dan bahan buatan. Semua koleksinya itu disusun di atas rak di dalam bilik stor rumahnya.

"Kawan-kawan dan saudara-mara tahu tentang hobi saya mengumpul botol Coke, jadi mereka akan memberi barangan itu kepada saya. Saya juga selalu mengembara dan mencari botol Coke di negara berbeza. Di rumah, saya menyusun koleksi berkenaan mengikut tema seperti Piala Dunia, botol yang mempunyai skrip berbeza, cetakan berbeza, aluminium dan sebagainya."

Lee berkata, beliau membeli botol berkenaan di pusat pengumpulan Coca-Cola, pameran, jualan garaj, kilang kitar semula botol, membida di Internet atau penukaran dengan pengumpul yang lain. Malah beliau sanggup memandu ke pekan-pekan kecil di Malaysia dan singgah di setiap kampung untuk mencari botol Coca-Cola sebagai tambahan koleksi.

"Sudah semestinya, isteri saya mengadu hobi ini mengambil ruang yang banyak, jadi saya tidak memberitahunya jika saya mendapat botol baharu atau kos untuk mendapatkan barangan tersebut! Tetapi apabila dia ke luar negara, dia pasti membelikan saya koleksi Coke," kata beliau.

Syarikat Coca-Cola mula beroperasi pada 1829 dan logonya berubah sebanyak 16 kali.

"Saya mempunyai 15 koleksi botol yang mempunyai logo berbeza," katanya.

Berlainan dengan botol minuman lain, Lee mendapati bentuk botol Coke lebih seksi kerana mempunyai karakter dan lengkungan.

Dikenali juga sebagai botol “Mae West” atau “skirt pincang” disebabkan persamaan dengan gaya pakaian pada zaman tersebut, botol Coke dihasilkan melalui pencarian selama dua tahun dan pertandingan yang diusahakan oleh Benjamin Thomas pada 1912 untuk mencipta sesuatu yang unik dan popular dengan cepat bagi jenama Coca-Cola. Bentuk botol itu yang dicipta oleh Syarikat Root Glass, menjadi bentuk standard bagi semua botol Coca-Cola dan merupakan imej ikonik pada hari ini.

Botol yang sukar dicari adalah botol jenis Hutchinson yang merupakan botol pertama dikeluarkan oleh Coca-Cola dan digunakan pada pertengahan 1980-an sehingga awal abad ke-20.

Botol Hutchinson mempunyai bentuk yang lurus dan sedikit lekuk. Setiap bahagian botol mempunyai nama Coca-Cola yang timbul pada permukaan kaca sama ada dalam blok teks atau tulisan, dan mempunyai nama bandar botol itu dihasilkan.

Walaupun jumlah botol tersebut tinggal sedikit pada hari ini, bahagian penutup Hutchinson meninggalkan warisan yang penting, di mana bahagian itu digunakan untuk membuka botol dengan menekan bahagian bawah penutup yang terletak di bahagian leher botol. Apabila ia dibuka, penutup tersebut akan tersembul keluar, sekali gus menjadi istilah “soda pop” yang dimasukkan dalam perkataan vernakular Amerika.

Hanya terdapat satu dozen atau lebih botol Coca-Cola Hutchinson di beberapa pekan di Alabama, Georgia, Tennessee dan Mississipi di Amerika Syarikat. Usaha untuk mengumpulkan botol Hutchinson pada hari ini melibatkan jumlah wang dan masa yang banyak.

Disebabkan botol tersebut berada di pasaran pada tempoh yang terhad, ia sukar dicari walaupun Lee sering mencari koleksi berkenaan.

Walaupun minat terhadap mengumpul barangan semakin mendapat sambutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau percaya melalui kesabaran, beliau akan mendapat botol yang diimpikan itu.

Lee berkata, " saya kekurangan botol yang mahal dan jarang ditemukan dalam koleksi saya. Setiap botol yang dihasilkan Coca-Cola mempunyai tahun keluaran dan paling awal yang saya miliki adalah tahun 1936, yang masih merupakan barangan berharga. Koleksi itu dikeluarkan oleh syarikat pertama yang memulakan operasi di Singapura dan saya berjaya mendapatkannya daripada sebuah kilang kitar semula di Kulim, Kedah.

"Anda perlu menunggu dan bersabar untuk mendapatkan hasil yang baik. Saya tidak terburu-buru membelinya apabila seorang penjual melelongnya kerana saya lebih suka menunggu harga botol itu turun. Pada awalnya, saya berfikir bahawa saya merupakan sebilangan kecil pengumpul sehinggalah kemunculan era Internet dan saya menyedari terlalu ramai pengumpul yang bersaing."

Botol yang dikumpul kadang-kala bocor atau menyejat dan apabila keadaan itu berlaku, Lee dengan segera mengisinya semula dengan air Coke. Beliau mempunyai alatan pemuka yang dikhaskan untuk tugas tersebut.

Alatan itu mempunyai saiz yang sempurna dan tidak merosakkan bahagian penutup botol. Saya pernah secara tidak sengaja memecahkan sebiji boto tetapi masih bernasib baik kerana mampu mencari jenis yang sama."

Lee yang mengakui merahsiakan tentang koleksinya, menyedari beliau merupakan seorang daripada pengumpul botol Coca-Cola terbanyak di Malaysia sehinggakan ramai orang menggelar beliau sebagai otai atau pakar. Rangkaian pengumpul barangan lama dilihat semakin berkembang dengan pengumpul baharu sering menghubungi Lee untuk mendapatkan nasihat.

Setiap tahun, beliau membeli kira-kira 100 biji botol, tetapi masih gagal mengumpulkan dua botol iaitu keluaran tahun 70-an dari Somalia dan satu lagi dari Kemboja. Sebiji botol dianggarkan bernilai dari RM800 dan ke atas.

"Tidak kira berapa harga yang anda tawarkan, saya tidak akan menjual mana-mana koleksi botol saya! Melainkan saya mempunyai dua jenis botol yang sama. Koleksi ini terlalu berharga buat saya," jelasnya.

Coca-Cola, Coke, Botol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain