suria

Menyayat hati! Selepas 5 tahun terpisah di Malaysia, nenek bertemu 3 cucu sertai ISIS di kem pelarian

Hoda (kiri) seakan tidak percaya dapat bertemu semula dengan neneknya yang terpisah lima tahun lalu. -fotoABC

PENCARIAN seorang nenek selama lima tahun berakhir apabila dia akhirnya dapat memeluk cucu-cucunya di kem pelarian Syria.

Ia adalah kali pertama Karen Nettleton, 58, melihat mereka sejak tiga cucunya dibawa menyertai ISIS oleh ibu mereka yang berkahwin dengan seorang pengganas terkenal.

Salah seorang cucunya, Hoda, 12, ketika menangis dalam pelukan neneknya berkata: "Saya tak percaya ini boleh berlaku. Saya tak percaya saya berada di sini dengan kamu. Saya rasa macam bermimpi."

Karren bersama cucu-cucunya sebelum mereka dibawa menyertai ISIS.

Zaynab, Hoda dan Humzeh Sharrouf telah dibawa untuk menyertai kumpulan pengganas berani mati oleh ibu mereka, Tara Nettleton yang berkahwin dengan Khaled Sharrouf, dari militan ISIS paling terkenal di Australia.

Ibu mereka dipercayai telah mati pada usia 31 tahun, tahun 2015 akibat komplikasi apendiks dan bapa mereka terbunuh dalam serangan udara pada 2017 bersama dua anak lelakinya Abdullah, 12, dan Zarqawi, 11.

Salah seorang anak lelakinya dipaksa memegang kepala askar Syria yang telah dipancung untuk sekeping gambar yang Khaled siarkan dalam talian.

Karen, dari Sydney, terpisah dengan keluarganya semasa bercuti ke Malaysia pada Februari 2014 apabila Tara memberitahu dia mahu pergi ke Turki untuk melihat pemandangan, lapor ABC News.

Wanita itu berkata dia akan kembali dalam masa beberapa bulan dan Karen telah memberi kucupan selamat tinggal kepada anak dan cucu-cucunya sebelum mereka menuju ke Syria. Itulah kali terakhir mereka bersama sebelum Karen pulang ke Sydney dan hidup bersendirian sambil menunggu kepulangan mereka.

Karren sanggup menanggung risiko keselamatan apabila terbang ke Iraq dan masuk ke kem pelarian untuk mencari cucu-cucunya.

Bagaimanapun Karen tetap berhubung dengan keluarganya melalui aplikasi mesej dan telah dua kali terbang ke Turki untuk cuba menguruskan laluan selamat keluar dari Syria tetapi sia-sia.

"Saya perlu bawa pulang mereka semula. Mereka patut pulang ke sini. Mereka berhak berada di sini, gembira dan selamat serta dapat makan, berjalan seperti biasa, seperti kehidupan normal," katanya.

Bagaimanapun, nenek berusia 58 tahun itu bagai tidak percaya apabila Hoda menghubunginya pada Mac lalu untuk memberitahu bahawa dia sedang berada di kem pelarian al-Hawl, tempat yang sama Shamima Begum ditemui selepas melarikan diri dari UK pada 2015. Mereka berjaya melarikan diri dari kem ISIS di Baghouz.

Dia juga mendapat panggilan daripada Zaynab yang kini sudah mempunyai dua anak yang memberitahunya bahawa dia sedang dalam perjalanan ke kem setelah urusan diproses pihak berkuasa.

Pertemuan penuh emosi antara Karren dan Hoda.

Sebelum pertemuan menyentuh emosi itu, Karen sanggup membahayakan dirinya terbang ke Iraq sebelum pergi ke khemah-khemah yang menempatkan lebih dari 72,000 pelarian dan bertanya kepada seramai mungkin sama ada mereka melihat cucu-cucunya yang telah lama terpisah itu sebelum dia dibawa ke kem bahagian Australia. Di situlah dia bertemu Humzeh yang membawanya ke khemah kakaknya.

Setengah jam pertemuan penuh emosi dan air mata dengan Hoda dan Humzeh, Zaynab pula muncul untuk menyambut neneknya.

Pegawai Australia berkata kanak-kanak itu bakal kembali ke Australia di bawah penjagaan nenek mereka walaupun tidak diketahui berapa lama masa akan diambil. -MetroUK

kem pelarian, Syria, pengganas, ISIS

Artikel Lain