suria

Pekerja R&R alami detik cemas sewaktu syif malam... Makhluk berkain kapan muncul ketika suasana sunyi pukul 3 pagi

Kemunculan makhluk halus di sebuah tandas di R&R cukup menyeramkan.

SEJURUS selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fikri menerima tawaran bekerja secara sambilan sebagai tukang cuci di sebuah hentian rehat dan rawat (R&R) sementara menanti keputusan itu keluar.

Pada awalnya, Fikri dapat melunaskan semua tugasan diberikan dengan baik malah pekerjaan itu banyak mengajarnya untuk lebih berdikari dan menghargai kebersihan terutamanya di tempat awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit wad bersalin jadi takut muncul wanita bermain loceng atas katil ketika lampu ditutup

Seperti petugas lain yang bekerja di R&R, Fikri juga tidak terlepas untuk bertugas pada waktu malam. Pada mulanya Fikri mengakui agaknya gusar namun akhirnya dia dapat membiasakan diri.

Kejadian mistik katanya sudah menjadi 'makanan' setiap kali bekerja pada waktu malam namun mujur pihak pengurusan menetapkan dua pekerja untuk bertugas pada waktu malam.



Kisah seram di tandas R&R banyak diceritakan sebelum ini.

"Kami yang bertugas memang sudah biasa menempuh perkara-perkara aneh dan mistik terutamanya ketika sedang mencuci tandas.

"Kebiasaannya saya akan mencuci tandas lelaki manakala rakan saya pula membersihkan tandas wanita. Bukan sahaja kami tetapi pengguna yang singgah pada waktu malam pun ada yang diganggu," ujarnya.

Tambahnya, bunyi air pancuran yang dibuka secara tiba-tiba atau bunyi pintu tandas tiba-tiba ditutup ketika sedang membersih tandas adalah situasi biasa yang dilaluinya.

Mengikut jadual kerja dia dan rakannya akan membersihkan tandas beberapa kali pada waktu malam termasuklah selepas waktu tengah malam dan ia sebenarnya menambahkan rasa seram.

Apabila saya mendongakkan kepala ke atas... tiada sesiapa tapi seluar saya basah! Saya terus lari keluar daripada tandas itu.

FIKRI

Sehinggalah pada suatu malam, dia mengalami satu peristiwa yang menakutkan. Ia berlaku ketika dia sedang leka membersihkan tandas sekitar pukul 3 pagi, dan ketika itulah kelibat menyeramkan muncul menggangunya.

Menyedari ada perkara tidak kena, Fikri ketika itu sedang membuang air kecil di kubikel sebelum tengkuknya tiba-tiba terasa meremang.

"Masa saya tengah kencing tu, saya rasa seluar bahagian belakang saya basah seperti terkena air dan saya berpaling ke arah belakang.

"Apabila saya pandang ke bahagian bawah, seperti ada seseorang yang sedang kencing tepat ke arah kaki seluar saya dan fikiran saya mungkin rakan sekerja yang ingin kenakan saya.

"Tetapi apabila saya mendongakkan kepala ke atas... tiada sesiapa tapi seluar saya basah! Saya terus lari keluar dari tandas itu," ceritanya.



Tindakan Fikri buang air kecil sambil berdiri pada pukul 3 pagi telah memberi pengalaman buruk kepadanya.

Kata Fikri, dalam keadaan cemas itu, dia seperti tergamam apatah lagi hendak menjerit meminta tolong memandangkan kawasan R&R itu sunyi selain tidak melihat kelibat rakan sekerjanya.

Tidak mahu terbawa-bawa dengan situasi itu, Fikri memberanikan diri untuk mengintai ke dalam tandas tidak berpintu itu dan dia terkejut apabila melihat imej menyeramkan ditempat dia buang air kecil sebelum ini.

"Ketika itu saya nampak bahagian belakangnya... Ia seperti sedar kehadiran saya dan memalingkan mukanya ke arah saya. Memang menyeramkan.

"Saya masih ingat, rambutnya panjang, berkain putih seperti kain kapan dengan kesan kotoran tanah membaluti badannya. Apabila dia palingkan sahaja muka, saya memang terus cabut lari mencari rakan saya," katanya.

Kejadian itu meninggalkan kesan cukup mendalam kepada diri Fikri. Akibatnya dia mengalami demam selama enam hari berturut-turut.

Fikri memberitahu dia mengambil keputusan berhenti kerja selepas berasa trauma dengan apa yang berlaku kepada dirinya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain