suria

Wanita kesal orang luar ‘override’ peraturan untuk anak-anak, buruk akibatnya - “Ia buat mereka melawan ibu sendiri!”

Setiap keluarga mempunyai peraturan sendiri. -Gambar hiasan

SETIAP ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam mendidik dan mendisiplinkan anak-anak termasuk menetapkan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi.

Kebiasaannya, para ibu bapa akan mengawal pengambilan makanan kerana bimbang kesan buruk dialami anak-anak terutama mereka yang mempunyai alergi.

Bagaimanapun, peraturan dan larangan tersebut sering kali dipandang remeh sesetengah individu.

Menerusi hantaran di TikTok, seorang wanita meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila terdapat segelintir individu yang sewenang-wenangnya mengabaikan larangan yang ditetapkan pada anaknya.

Susulan itu, dia meminta mereka yang terlibat supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan kerana ia memperlihatkan dia seperti seorang ibu yang jahat di mata anak-anak.

"Perhatian kepada semua, tolong jangan override apa yang ibu larang pada anak mereka dan jadikan ibu itu seolah-olah teruk di depan anak-anak.

Sikap anak-anak mencerminkan didikan ibu bapa. -Gambar hiasan

Sikap anak-anak mencerminkan didikan ibu bapa. -Gambar hiasan

"Tak ada ibu dekat dunia ni nak larang benda baik, mesti ada benda yang kurang baik atau berisiko sebab itulah dia larang.

"Contoh kalau ibu dia dah kata jangan makan jajan, gula-gula... tolong hormat dan jangan pula cakap... ala tak apa, sekali sekala bagi rasa... bukan selalu, sporting la sikit kan budak-budak tengah ramai.

"Walau ada yang merasakan larangan tu remeh, tolong hormati dia sebagai ibu kepada anak-anaknya," tegasnya.

Malah katanya, setiap ibu dan ayah mempunyai alasan tersendiri pada larangan yang diberikan.

"Jangan buat anak melawan ibunya dan menampakkan macam dia monster di mata anak-anak.

"Tak perlu kita nak rosakkan hubungan ibu dan anak, buat anak melawan ibunya sebab bukan anda yang hadap kesannya nanti," tambahnya lagi.

Luahannya itu mendapat perhatian warga maya dan ramai bersetuju dengan pandangan yang diberikan.

Kebanyakannya mencadangkan supaya kanak-kanak tersebut diajar untuk meminta izin daripada kedua-dua orang tuanya terlebih dahulu.

Artikel Lain