suria

Bukan semua wayar ‘extension’ sama fungsi, salah sambung boleh terbakar!

Penyambung wayar dan plug perlu digunakan secara berhemah.

WAYAR penyambung atau wire extension dan plug merupakan peranti elektrik yang pasti ada di setiap rumah bagi kegunaan harian.

Kalau anda perasan, terdapat pelbagai jenis wayar penyambung dan plug yang boleh didapati di pasaran, tapi apakah perbezaan antara setiap satunya?

Tahukah anda, wayar penyambung dan plug ini tidak wajar digunakan secara semberono untuk setiap peralatan elektrik, ia boleh mengakibatkan litar pintas dan kerosakan.

Ayuh kita ikuti perkongsian oleh James Hukala di laman Facebook tentang kegunaan yang betul bagi setiap kategori wayar penyambung dan plug.

1) Wayar penyambung bergulung

Wayar penyambung ini boleh ditarik untuk dipanjangkan dan dipusingkan semula bagi tujuan penyimpanan selepas selesai digunakan, sangat praktikal.

Namun, wayar penyambung jenis ini sepatutnya hanya digunakan untuk kerja-kerja sementara atau kerja berpindah-randah.

Ia tidak sesuai untuk kegunaan kekal seperti peti sejuk, alat penghawa dingin, ketuhar, pemanas air dan ketuhar gelombang mikro (microwave).

Sebagai tip ekstra, apabila hendak menggunakan wayar penyambung ini, pastikan anda menarik keluar keseluruhan wayar sehingga habis. Ini supaya dapat mengurangkan rintangan aliran elektrik.

Sekiranya wayar banyak berlipat dan bergulung, aliran elektrik akan tersekat dan bil utiliti anda boleh melambung tinggi, selain kebarangkalian besar untuk berlaku litar pintas.

Sama juga bagi penyedut hampagas atau jet air bertekanan tinggi, pastikan wayar ditarik habis. Jika tidak, alat akan menjadi cepat panas dan mudah rosak.

2547682

2) Plug tiga pin (3 pin adaptor)

Alat ini juga hanya boleh digunakan untuk kerja-kerja sementara. Tidak sesuai bagi kegunaan televisyen, radio, komputer, peti sejuk dan sebarang peralatan elektronik digital.

3) Powercube

Plug ini mempunyai soket di bahagian tepi, atas dan bawah.

Boleh digunakan untuk komputer dan televisyen. Jangan sesekali guna untuk microwave, peti ais, penghawa dingin dan ketuhar. Sangat berbahaya.

Bagi ketuhar atau sebarang peralatan yang menggunakan banyak tenaga elektrik, tidak disarankan menggunakan plug penyambung. Sambungkan terus pada soket utama di rumah.

4) Extension plug

Sangat disyorkan untuk kegunaan televisyen dan komputer. Namun pastikan ada kelulusan SIRIM atau ISO.

Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain