suria

INSAN lindungi rakyat Selangor, bayi 30 hari pun dah boleh daftar! Perlindungan insurans am sehingga RM10,000 secara percuma

Amirudin melancarkan INSAN bagi menjaga kebajikan rakyat negeri Selangor

WOW! Perlindungan insurans am sehingga RM10,000 secara percuma meliputi kecederaan dan kehilangan upaya akibat kemalangan, khusus untuk rakyat negeri Selangor.

Kematian yang disebabkan kemalangan dengan perbelanjaan pengebumian berjumlah RM1,000 turut diberikan menerusi skim yang dikenali sebagai INSAN.

Menariknya, ia juga terbuka kepada bayi berumur 30 hari sehingga warga emas 80 tahun dan dianggarkan akan memanfaatkan 6 juta rakyat negeri ini.

Difahamkan, hanya Selangor yang menyediakan skim perlindungan seumpama ini untuk rakyatnya. Bertuah anak jati Selangor!

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, skim INSAN merupakan perlindungan hayat yang diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif kebajikan di samping memberi perlindungan menyeluruh kepada rakyat.

"Selepas melaksanakan pelbagai program, kita mahu rakyat dilindungi... ambil iktibar daripada wabak Covid-19 dan insiden banjir, rakyat perlu disedarkan tentang perlindungan dan kerajaan negeri memulakan inisiatif ini supaya perlindungan seumpama ini menjadi satu pemahaman dan sebahagian daripada pilihan.

Sebahagian pendaftar awal skim perlindungan am.

Sebahagian pendaftar awal skim perlindungan am.

"Tidak ada ruginya perlindungan ini. Bukan untuk mempromosikan syarikat insurans tetapi dalam masyarakat maju di masa hadapan, perlindungan kesihatan sebagai contoh menjadi salah satu daripada keperluan dan prioriti masyarakat," tegas beliau.

Malah beliau berkata, untuk berganjak ke sebuah negeri maju, masyarakat perlu terbiasa dan memahami kepentingan perlindungan terhadap diri sendiri.

Tambah beliau, ia dibuktikan juga dengan kos yang tidak begitu besar berbanding kos lain yang dilepaskan ketika menerima elaun atau gaji masing-masing.

"Sebahagiannya adalah untuk membudayakan skim perlindungan dan niat sudah pasti untuk melindungi serta sebagai tanda kita (kerajaan negeri) bertanggungjawab menjaga rakyat Selangor," jelas beliau.

Wavpay

Mengulas lanjut, ujar Amirudin, sejak diperkenalkan pada 1 Oktober lalu, pihaknya telah menerima lebih 40,000 pendaftaran.

Bagaimanapun, beliau menyasarkan lebih sejuta rakyat Selangor akan berdaftar pada akhir tahun ini manakala keseluruhan 6 juta sepanjang tempoh satu tahun pelaksanaan INSAN.

"Program ini akan disambung dari semasa ke semasa dan akan diperbaiki untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan. Langkahnya juga mudah yang mana hanya perlu muat turun aplikasi wavpay atau hadir ke pusat khidmat supaya bantuan pendaftaran dapat dilakukan.

"Ia akan ambil masa sedikit tetapi tidak lebih 48 jam... biasanya jika tidak lulus pasti ada kekurangan tertentu seperti maklumat tak lengkap.

"Bagaimanapun jangan khuatir, anda boleh datang ke pusat khidmat MBI supaya pendaftaran dapat dilakukan," jelas beliau sambil berkata ia bukanlah paksaan sebaliknya inisiatif untuk rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fintech Wavpay, Brahma Shakthi ketika ditemui mengulas tentang kerjasama dengan skim INSAN.

Menurutnya, kerjasama tersebut adalah untuk menyediakan platform khusus bagi inisiatif yang ditawarkan kerajaan negeri selepas pihaknya melihat potensi dunia digital yang sangat meluas di samping infrastruktur serta pola pengguna yang sangat memberangsangkan.

Cara mendaftar INSAN menerusi Wavpay.

Cara mendaftar INSAN menerusi Wavpay.

“Covid-19 telah mengubah landskap pengguna yang lebih cenderung untuk menggunakan platform digital. Jadi dengan kerjasama bersama MBI ini, seberapa banyak inisiatif kerajaan negeri dapat dipusatkan dalam satu platform.

“Pengguna khususnya rakyat negeri Selangor lebih mudah untuk membuat rujukan dan pendaftaran melalui aplikasi Wavpay (consolidate).

“Kami turut berminat untuk menawarkan khidmat kepada kepada kerajaan negeri yang lain, pada masa sama kajian dan penambahbaikan turut dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan pengguna menikmati perkhidmatan yang kondusif serta cepat,” katanya.

INSAN dilancarkan Amirudin semasa siri ketujuh Jelajah Selangor Penyayang yang bertempat di Stadium Sultan Suleiman, Klang, pada 23 Oktober lalu.

Setiap individu perlu mendaftar sendiri manakala ketua keluarga boleh mendaftarkan untuk anak-anak mereka.

Aplikasi mobil e-Wallet Wavpay boleh dimuat turun di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGalery.

Jadi apa tunggu lagi? Anak jati Selangor jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan skim perlindungan percuma ini ya!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain