suria

Lepas sebulan Ramadan, patutnya lebih berakhlak! Ustazah tegur umat Islam berjoget sebelum dapat duit raya

Asma' menegur masyarakat supaya menjaga adab selepas bulan Ramadan.

SELAIN meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, Hari Raya Aidilfitri merupakan masa yang paling sesuai untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan. 

Sudah menjadi kebiasaan buat ahli keluarga untuk beramah mesra dan melakukan aktiviti beramai-ramai ketika meluangkan masa bersama.

Malah, dalam era digital hari ini, ramai dalam kalangan kita mencuba trend viral di media sosial untuk memeriahkan lagi sambutan raya.

Terbaharu, segelintir masyarakat dilihat teruja menunjukkan aksi mereka menerima duit raya sambil berjoget berlatarkan lagu 'Hey Muzycko' menerusi aplikasi TikTok.

Bukan sahaja golongan muda, bahkan individu yang lebih berusia termasuk golongan warga emas juga sama-sama tidak melepaskan peluang menyertai trend berkenaan.

Trend berjoget tersebut mengundang rasa kurang senang ramai pihak.

Perkara ini bagaimanapun mengundang rasa kurang senang pendakwah bebas Ustazah Asma' Harun yang tampil memberikan teguran.

Menurutnya, orang ramai khususnya umat Islam sepatutnya lebih menjaga adab dan tingkah laku mereka selepas bulan Ramadan.

"Tolong fikir sebelum ikut trend ambil duit raya kena joget. Lepas tu rakam dan muat naik (di media sosial). Ramai wanita Islam tua dan muda buat (benda) sama. 

"Syawal ibarat mereka yang balik Haji, lepas sebulan Ramadan, sepatutnya kita lebih berakhlak. Jangan biasakan," ujarnya di laman Facebook.

Dalam hantaran yang sama, Asma' turut memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak melibatkan diri dalam perbuatan yang mengundang maksiat atau mengajak orang lain melakukan perbuatan berdosa.

 

Artikel Lain