suria

Nak solat tapi pakaian terkena muntah bayi, adakah dikira najis? Ini pandangan ulama dan penjelasan Dr Zulkifli

Muntah bayi termasuk dalam perkara yang dimaafkan jika terkena pakaian. -Gambar hiasan

SUCI daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat solat merupakan salah satu daripada sembilan syarat sah solat.

Justeru, pakaian yang ingin dipakai untuk solat haruslah bersih daripada segala najis terlebih dahulu kerana ini merupakan salah satu syarat kesempurnaan ibadah.

Bagi ibu atau mereka yang mempunyai anak kecil dalam keluarga, ada kalanya timbul perasaan keliru mengenai status jeluak atau muntah bayi yang terkena pada pakaian, sama ada ia dianggap najis atau sebaliknya.

Bagi menjawab persoalan tersebut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan pencerahan mengenainya di dalam tulisan beliau di laman Maktabahalbakri.

ARTIKEL BERKAITAN: Lega sangat dapat tahu hukum bulu kucing lekat pada sejadah, pakaian untuk solat... Pencinta si bulus kena ambil tahu

"Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jeluak adalah berbunyi sewaktu hendak muntah atau diertikan juga sebagai muntah (kerana terlalu kenyang). Jadi, jeluak ialah nama lain bagi muntah.

"Secara umumnya, hukumnya dibezakan berdasarkan kepada dua keadaan. Keadaan pertama, muntah atau jeluak itu keluar dari perut dalam keadaan sudah berubah sifatnya daripada sifat makanan (asalnya); dari segi rasa, warna dan bau.

"Ketika ini, ia dihukumkan sebagai najis. Ini adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan salaf dan khalaf, di antaranya imam empat mazhab, al-Zahiriyyah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan ramai lagi," katanya.

Jelasnya, dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah turut dinyatakan muntah adalah najis, sama ada daripada budak kecil atau orang dewasa kerana ia adalah makanan yang telah berubah menjadi benda yang rosak (busuk) di dalam perut, menyerupai tahi dan darah.

Oleh itu, jika ia terkena pakaian atau benda lain, wajib untuk mencucinya dengan air dengan menggosok dan memerahnya sehingga hilang 'ain najisnya dan sebahagian daripadanya, dan tempat tersebut menjadi suci.

Muslim men praying in Tashahhud posture

Pakaian yang ingin dipakai untuk solat haruslah bersih daripada segala najis terlebih dahulu kerana ini merupakan salah satu syarat kesempurnaan ibadah. -Gambar hiasan

"Keadaan kedua, muntah atau jeluak itu keluar dari dalam perut dalam bentuk makanan (asalnya) tanpa mengalami perubahan. Berkenaan hukumnya, para ulama berbeza pendapat mengenainya.

"Pendapat pertama, jumhur ulama berpendapat, ia adalah najis. Manakala pendapat kedua iaitu ulama Malikiyyah berpendapat, ia dalam keadaan ini adalah suci, bukan najis.

"Berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam hal muntah bayi, terdapat sebahagian ulama berpendapat jika ia mengalami perubahan, misalnya susu yang keluar dari mulut selepas diminum telah berubah warna dan baunya, maka ia dianggap sebagai najis.

"Akan tetapi jika susu itu keluar dan belum lagi mengalami perubahan pada sifatnya, seolah-olah ia seperti baru sahaja dihisap, maka ia dianggap suci," terangnya.

Menurut pandangan Ibn al-Qayyim, permasalahan ini termasuk dalam 'umum al-balwa' dan sesungguhnya syarak mengetahui bahawa bayi sering muntah, dan air liurnya akan terus mengalir kepada orang yang menjaga dan mendukungnya.

Malah sekelompok fuqaha berpendapat, muntah bayi termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan disebabkan oleh kesukaran (untuk mengelakkannya).

"Kesimpulannya, kami berpendapat bahawa seseorang yang diuji dengan kerapnya muntah seperti bayi yang kerap muntah termasuk dalam perkara yang dimaafkan jika terkena pada badan dan bajunya.

"Atau terkena baju ibu ayah atau sesiapa sahaja yang memeliharanya, dalam kadar yang sedikit pada uruf kerana kesukaran menjaga diri daripada terkena najis tersebut.

"Begitu juga sah mendirikan solat dengan memakai pakaian yang terkena jeluak tersebut pada kadar yang sedikit mengikut uruf.

"Hal ini kerana ia termasuk dalam perkara 'umum al-balwa dan najis yang dimaafkan kerana kesukaran untuk mengelakkan daripada terkenanya," ujarnya lagi.

Semoga pencerahan tersebut dapat menjawab kekeliruan mengenai status muntah bayi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain