suria

Teringat-ingat nasi lemak kuning utara... Senang sangat nak buat, rupanya tak guna santan

Nasi lemak berwarna kuning yang terkenal di Kedah dan Perlis.

BAGI mereka yang sering berjalan ke utara tanah air, anda pasti perasan bahawa kebanyakan nasi lemak di sana berwarna kuning.

Selain berbeza warna, ia turut mempunyai rasa yang unik kerana ketiadaan santan di dalam masakannya.

Bagi anda yang merindui nasi lemak istimewa ini, jangan risau, ayuh kita lihat resepi yang dikongsikan oleh Nor Asiah.

Nasi lemak kuning yang meliurkan.

Bahan-bahan untuk nasi:

- Tiga cawan beras

- Dua tangkai daun kari*

- Bawang kecil yang dihiris*

- Bawang putih yang dihiris*

- Halia*

- Empat rempah sekawan*

- Daun pandan*

- Dua sudu marjerin

- Sedikit minyak untuk menumis

- Sedikit serbuk kunyit

Nasi lemak kuning ini tidak sukar untuk dibuat.

Cara memasak:

1) Tumis bahan yang bertanda (*) hingga wangi dan kekuningan.

2) Kemudian masukkan air ikut sukatan beras, serbuk kunyit, garam dan sedikit kiub ayam (jika suka).

3) Apabila air sudah mendidih, masukkan beras dan biarkan sehingga masak.

4) Bila nasi sudah masak, boleh masukkan marjerin dan tutup periuk, biarkan dalam empat minit. Kemudian, buka dan kacau rata.

5) Siap untuk dihidang.

Nasi lemak kuning kebiasaannya dibungkus di dalam surat khabar lama.

Bahan-bahan untuk sambal:

Cili Kering kisar

Bawang besar dan sedikit belacan (dikisar)

Sedikit sos tiram

Sedikit sos cili

Bawang putih (diketuk)

Cara memasak:

1) Tumis bawang putih yang diketuk dan masukkan cili kisar, kacau sampai garing atau naik bau.

2) Masukkan bawang kisar, sos cili, sos tiram dan sedikit gula melaka.

3) Tumis sampai naik minyak dan masukkan sedikit air, air asam jawa dan garam.

4) Apabila mendidih boleh masukkan apa-apa lauk yang suka seperti udang, ikan bilis, sotong dan sebagainya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain