suria

Landasan Lapangan Terbang Cristiano Ronaldo antara 7 paling ekstrem di dunia

Lapangan Terbang Antarabangsa Madeira Cristiano Ronaldo bagi menghormati bintang bola sepak itu yang dilahirkan di Madeira.

SETIAP lapangan terbang di dunia mempunyai standard tertentu bagi menjamin keselamatan ketika pesawat berlepas dan mendarat.

Ia termasuklah lokasi, landasan sehinggalah keadaan pesawat yang akan berlepas, semuanya mempunyai standard yang ketat bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan cuba-cuba... Wanita haid tidak dibenarkan ke habitat komodo, apa sebabnya?

Meskipun terdapat piawaian standard keselamatan yang ketat, masih terdapat beberapa lapangan terbang di seluruh dunia yang dikatakan berbahaya kerana lokasinya berdekatan laut atau pesawat perlu mendarat di landasan yang beku disebabkan musim sejuk.

Berikut adalah tujuh landasan lapangan terbang yang paling ekstrem di dunia;

1. Lapangan Terbang McMurdo, Antartika

Turut dikenali sebagai 'The Ice' kerana landasannya diperbuat daripada ais, landasan ini berpotensi untuk retak ketika pesawat mendarat.

Atas sebab itu, juruterbang yang bertugas perlu berhati-hati ketika mendarat agar ia tidak merosakkan lapisan ais tersebut.

Sekiranya suhu meningkat, ia turut menyukarkan pesawat untuk berlepas dan mendarat kerana ais mencair.

2. Lapangan Terbang Paro, Bhutan

Lapangan Terbang Paro yang terletak di Bhutan ini berada di kawasan lembah yang dikelilingi pergunungan Himalaya.

Ia terletak 2,235 meter daripada aras permukaan laut dan dikelilingi puncak Himalaya setinggi lebih daripada 8,848 meter.

Untuk mendarat, juruterbang perlu melakukan pendaratan tajam bagi menghindari salah satu gunung tertinggi di dunia ini dan bukan semua yang layak menerbangkan pesawat di lapangan terbang ini.

3. Lapangan Terbang, Narsaruaq, Greenland

Lapangan terbang ini berada di kawasan bersuhu dingin dan landasannya sentiasa ditutupi oleh ais.

Pesawat hanya dibenarkan untuk mendarat pada waktu siang kerana angin yang kuat pada waktu malam menjadikan ia berbahaya.

Juruterbang juga perlu cekap ketika mengendalikan pesawat apabila perlu mengelakkan pergunungan berais berdekatan landasan selain perlu membuat pusingan 90 darjah selari dengan landasan yang berangin.

4. Lapangan Terbang Antarabangsa Gibraltar

Lapangan terbang ini dikatakan sebagai paling ekstrem di Eropah Selatan kerana bukan sahaja landasannya yang pendek tetapi ia turut memintas jalan utama di bandar.

Landasannya terpisah di antara Jalan Winston Churchill Avenue yang juga jalan raya paling sibuk di Gibraltar.

Ketika pesawat hendak berlepas atau mendarat, jalan ini akan ditutup selama 10 minit bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

5. Lapangan Terbang Madeira, Portugal

Sebelum ini, landasan lapangan terbang ini hanya sejauh 1.6 kilometer namun ia diubah suai menjadi 2.7 kilometer selepas sebuah pesawat Boeing 727 terhempas.

Kejadian itu berlaku selepas pesawat melanggar jambatan batu berdekatan lapangan terbang.

Juruterbang juga perlu mahir mengendalikan pesawat ketika mendarat kerana ia turut dikelilingi bukit dan berdekatan laut yang berbatu.

Selain itu, ia sangat berangin sehingga menyukarkan proses mendarat. Pada 2017, lapangan terbang itu dinamakan semula sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Madeira Cristiano Ronaldo bagi menghormati bintang bola sepak itu yang dilahirkan di Madeira.

6. Lapangan Terbang Matekane, Lesotho

Lapangan terbang di bahagian selatan Afrika ini hanya sepanjang 396 meter dan 600 meter lebar - menjadikan pelepasan dan pendaratan pesawat sesuatu yang menakutkan.

Diapit oleh gunung yang tinggi, tekanan udara berubah-ubah serta angin kencang membuatkan tidak ramai juruterbang berkebolehan apabila ditugaskan ke lapangan terbang ini.

7. Lapangan Terbang Tenzing, Lukla, Nepal

Lapangan terbang ini mendapat jolokan sebagan landasan paling curam di dunia ekoran ia terletak pada ketinggian 2.859 meter dari aras laut.

Penerbangan dan pendaratan hanya dibenarkan pada waktu siang, jika cuaca mengizinkan. Ini kerana landasannya sering dilitupi awan dan diserang angin kencang.

Sekiranya tidak berhati-hati, pesawat boleh terhempas di tebing setinggi 300 meter yang juga betul-betul penghujung landasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain