Sajian alam memukau mata di Broome... ramai jatuh cinta! - Destinasi | mStar

Sajian alam memukau mata di Broome... ramai jatuh cinta!

SEBUT sahaja Australia, pasti ramai yang terbayangkan destinasi menarik seperti Sydney, Perth dan Melbourne.

Namun, jarang sekali kita dengar mengenai Broome yang terletak di barat negara itu.

Jika ada yang mahu berkunjung ke sana pada tahun ini, Broome patut dimasukkan dalam senarai wajib dikunjungi.

Lokasi Insta-worthy itu pastinya menjanjikan anda satu pengalaman baharu dengan panorama yang cukup mengasyikkan.

Kali ini, mStar Online akan menyenaraikan beberapa lokasi yang patut anda singgah jika berkesempatan ke Broome.

Bagi yang gemar menikmati keindahan cahaya semula jadi, Straircase to the Moon merupakan lokasi yang paling sempurna untuk anda.

Pemandangan Straircase to the Moon penuh memukau bakal dinikmati mereka yang berkunjung ke  Broome.

Sajian mata penuh mengasyikkan itu akan memberi anda kepuasan yang mungkin tidak dapat dicari di mana-mana lokasi pelancongan lain.

Di situ, anda boleh melihat fenomena alam yang mana ia berlaku beberapa kali sahaja dalam setahun.

Terdapat beberapa lokasi untuk menikmati fenomena itu, antaranya di Dampier, Cossack dan Hearson's Cove.

Pada siang hari pula, anda patut berkunjung ke Teluk Roebuck untuk menikmati keindahan pantai yang diliputi pasir berwarna kemerah-merahan.

Roebuck turut menjadi habitat kepada banyak hidupan liar.

Kombinasi sempurna laut penuh kebiruan dengan pasir pantai kemerah-merahan.

Jika bertuah, anda boleh menyaksikan ikan lumba-lumba di perairan teluk itu.

Di Pantai Cable pula, anda boleh merasai pengalaman menunggang unta sewaktu matahari terbenam.

Ia turut menjadi lokasi wajib kepada mereka yang mahu merakam gambar kerana keindahan panoramanya yang begitu menakjubkan.

Lihat sahaja foto di bawah, pantulan cahaya di atas permukaan air menjadikan lokasi ini seolah-olah satu cermin gergasi semula jadi.

Menunggang unta sambil menikmati permandangan matahari terbenam.

Untuk yang lebih ekstrem, anda juga boleh berkunjung ke Horizontal falls.

Pernah dinobatkan sebagai salah satu keajaiban dunia, air terjun itu wajib dimasukkan dalam senarai destinasi anda.

Salah satu lokasi yang wajib dikunjungi jika singgah ke Broome.

Anda juga boleh memilih untuk menaiki bot bagi meneroka panorama itu dengan lebih dekat.

Di waktu malam pula, anda boleh menikmati panorama bintang bergemerlapan di langit Broome.

Pendek kata, terlalu banyak tarikan untuk dikunjungi di Broome.

Pasti ramai yang bakal jatuh cinta dengan Broome setelah mereka sendiri berkunjung dan menikmati sajian alam di sana.

Malah, ia juga seolah-olah membawa kita untuk meneroka keunikan alam yang sukar dicari di negara sendiri.

 

Artikel Berkaitan