suria

Tempuh Perjalanan 400km Berlatih Demi Sukan SEA

Mohd Juwaidi Mazuki.

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan impiannya untuk merangkul tiga pingat emas  pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi kenyataan, atlet memanah negara Mohd Juwaidi Mazuki sanggup menempuh perjalanan kira-kira 400km berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur.

Inilah pengorbanan Mohd Juwaidi bagi memastikan beliau dapat menjalani latihan bersama rakan sepasukan dalam persiapan menghadapi temasya Sukan SEA edisi ke-29 itu.

Pemenang dua pingat emas dan satu gangsa dalam acara Compound pada temasya dwitahunan edisi ke-28 di Singapura itu berkata faktor keluarga memerlukan beliau berulang alik dua hingga tiga kali dalam seminggu dari kediamannya di Ipoh bagi menjalani latihan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Atlet berusia 27 tahun itu bagaimanapun tidak menggangap ia sebagai beban yang mampu mengganggu fokusnya dalam latihan malah menyifatkan sebagai pemangkin semangat untuk menjelmakan persembahan terbaik di laman sendiri sekaligus menyapu bersih emas dalam semua acara disertainya.

"Saya masih menyertai acara sama seperti edisi sebelum ini iaitu compound individu dan berpasukan lelaki bersama Lee Ken Lip dan Zulfadhil Ruslan selain berpasukan campuran bergandingan dengan Faten Nurfatehah Mat Salleh.

"Dengan latihan di Bukit Jalil serta latihan bersendirian dibantu Majlis Sukan Negeri Perak, saya yakin mampu mempertahankan emas bagi acara berpasukan lelaki dan campuran yang dimenangi di Singapura selain menukar warna gangsa dalam acara individu kepada kilauan emas," katanya.

Skuad memanah negara bakal memulakan misi membidik emas esok (16 Ogos) dengan acara berlangsung di Padang Sintetik MSN, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Mohd Juwaidi menyifatkan kejayaan memenangi pingat perak dalam acara berpasukan lelaki bersama Ken Lip dan Zulfadhli pada Piala Asia di Taiwan, Julai lalu membantu menaikkan semangat dan keyakinan dirinya menjelang aksi pada Sukan SEA.

"Saya harap kami dapat meneruskan momentum cemerlang ini sekaligus membantu sasaran kontinjen negara untuk menjadi juara keseluruhan pada temasya kali ini," katanya.

Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) meletakkan sasaran empat emas iaitu tiga menerusi acara compound dan satu menerusi acara recurve.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan bermula secara rasmi pada 19 Ogos ini dan berakhir 30 Ogos melibatkan 38 jenis sukan dengan 404 acara. - BERNAMA

memanah, Sukan SEA KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain