suria

Atlet Tagih Sokongan Padu Rakyat - Kim Swee

KUALA LUMPUR: Debaran dan kehangatan temasya Sukan SEA sudah dirasai semua atlet negara yang membawa cabaran dalam edisi kali ini.

Kini tinggal kurang dari seminggu sahaja lagi sebelum tirai temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dibuka secara rasmi pada 19 Ogos di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Atlet negara sudah pun bersiap siaga, gendang perang sudah dipalu dan kini tiba masanya untuk turun ke gelanggang.

Namun siapalah mereka tanpa sokongan padu lebih 30 juta rakyat Malaysia untuk melonjak aksi cemerlang di gelanggang sendiri.

Jika dalam acara bola sepak, penyokong ibarat pemain ke-12 dalam skuad, yang boleh menentukan jatuh bangunnya prestasi pemain.

Justeru, tidak hairanlah jika jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) Datuk Ong Kim Swee menagih sokongan padu penyokong tempatan untuk membantu melonjak prestasi pemainnya.

"Saya pasti kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan di hadapan penyokong kita, mampu membezakan skuad bola sepak negara dengan pasukan lawan," katanya.

Skuad B-22 negara akan turun ke gelanggang menentang Brunei dalam Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam esok.

Turut sependapat dengan Kim Swee ialah ketua pasukan bola jaring Nur Syafazliyana Mohd Ali, yang menggalas misi merampas pingat emas daripada musuh tradisi, Singapura.

"Sokongan padu penyokong tempatan sudah cukup dan memadai bagi kami untuk beraksi cemerlang. Segala usaha dan pengorbanan telah kami lakukan untuk pingat emas Malaysia," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang baru-baru ini mahu semua atlet negara menampilkan persembahan terbaik dan berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan.

Perdana Menteri berkata atlet negara boleh mengharapkan sokongan lebih 30 juta rakyat Malaysia ketika mereka bersaing dengan atlet serantau pada temasya dwitahunan itu.

Malaysia akan diwakili 844 atlet yang menyertai semua 38 jenis sukan yang dipertandingkan.

Ini kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu selepas kali terakhir pada 2001 dan sekali gus muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas.

Jika semasa temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Rio de Janeiro tahun lepas, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan lapisan umur, menzahirkan sokongan dari kejauhan kepada atlet-atlet kita menerusi kemudahan multimedia.

Mengapa tidak, sokongan yang serupa malahan lebih hebat daripada itu dapat dizahirkan kali ini.

Anggaplah kita semua sebagai satu pasukan, kontinjen kita bukan sekadar berjuang dan menghadapi saingan tetapi juga yang berada di tepi gelanggang melaung semangat.

Ayuh rakyat Malaysia, marilah kita 'Bangkit Bersama' dan menuju 'Kita Juara'.-- Bernama



Sukan SEA, Kim Swee

Artikel Sebelum

Asyraaf Merayu

Artikel Berikut

Artikel Lain