suria

Dari Perak, penyokong OKU tiba di Doha mahu dengar Malaysia menang - “Kalau aku jadi pemain, aku menangis tengok”

Penyokong OKU, Ridzwan dibawa bertemu skuad Harimau Malaya.

DALAM sukan, sorakan penyokong yang bergema di stadium mampu melonjak moral atlet atau pasukan dalam perlawanan genting.

Apatah lagi di padang bola sepak, hubungan antara penyokong dan pemain sangat penting kerana mereka saling memerlukan ketika berentap menentang lawan.

Menerusi satu perkongsian di akaun TikTok rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), video semangat juang seorang penyokong Harimau Malaya membuatkan ramai tersentuh hati.

Penyokong yang dikenali sebagai Ridzwan itu cacat penglihatan tetapi sanggup bersusah-payah terbang ke Doha, Qatar demi memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan dalam saingan Piala Asia 2023.

Ketibaan Ridzwan yang berumur 27 tahun bersama abangnya dari Batu Gajah, Perak, disambut oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang bertindak menyantuni dua beradik itu.

Hamidin bermersa dengan Ridzwan.

"Terima kasih datang. Mari sini, ini jaket untuk kamu (Ridzwan) pakai nanti waktu hadir perlawanan, dekat sini sejuk," kata Hamidin menghadiahkan kit rasmi Harimau Malaya sambil bergambar bersama Ridzwan pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Ridzwan menyuarakan harapan setinggi gunung agar pasukan negara dapat bermain dengan cemerlang dan mara ke pusingan seterusnya.

"Terima kasih Datuk, biasa dengar suara Datuk dekat televisyen je, ini dengar dekat sebelah telinga ya.

"Kalau orang lain, niat mereka datang sini nak 'tengok' Malaysia menang, tapi saya datang sini nak 'dengar' Malaysia menang sebab saya tak boleh lihat.

"InsyaAllah boleh ya," kata Ridwan yang kurang upaya dari segi penglihatan sejak kecil dan merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik.

Pucuk dicita, ulam mendatang, Ridzwan kemudian dijemput pula untuk beramah mesra dengan pengendali pasukan negara, Kim Pan Gon serta beberapa lagi bintang Harimau Malaya.

"Terima kasih datang sejauh ini untuk menyokong, kami semua akan berjuang untuk kamu dan akan cuba yang terbaik untuk banggakan kamu," kata Kim Pan Gon sambil menandatangani jersi sebagai cenderamata kepada Ridzwan.

Sesi menandatangani jersi Harimau Malaya sebagai hadiah kepada Ridzwan.

Selain itu, pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim, juga meluangkan masa bersama Ridzwan sebelum bergerak ke padang latihan.

Ridzwan sempat berseloroh mahu mendengar ngauman 'Siu' ketika perlawanan di stadium kelak yang merupakan sambutan ikonik Faisal Halim apabila menjaringkan gol.

"Harap boleh dengar 'Siu' dekat sini (Doha) nanti. Walau apa pun terjadi, kami akan sentiasa menyokong," kata Ridzwan

"InsyaAllah, walaupun kalah itu hari tapi harapnya kita akan dapat bangkit, teruskan berdoa. Saya berbesar hati tengok penyokong kita walaupun kurang upaya daripada segi fizikal tapi tetap juga datang," ujar Faisal Halim.

Harimau Malaya dijadualkan menentang Bahrain pada Sabtu dalam aksi kedua kumpulan E selepas dimalukan 4-0 oleh Jordan ketika perlawanan pembukaan kempen Piala Asia 2023, Selasa.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya berharap agar pemain kebangsaan dapat memberi sepenuh jiwa raga ketika hari perlawanan.

"Kepada pemain, tolong tunaikan permintaan abang ni dan seluruh rakyat Malaysia yang lain, bawa pulang tiga mata penuh, misi harus menang!

"Kalau aku sebagai pemain tengok ni, aku menangis weh kalau tak main betul-betul. Semoga kehadiran abang ni dapat jadi pemangkin semangat kepada Harimau Malaya untuk bematian-matian menentang Bahrain," kata warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain