Penjaga gol hoki negara umum persaraan

Kumar mengumumkan persaraannya sebagai pemain selepas 20 tahun menyarung jersi negara.

PENJAGA gol skuad hoki negara, S. Kumar mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa selepas 20 tahun menabur bakti kepada negara.

Kumar, 40, mula bersama skuad kebangsaan sejak Sukan SEA Brunei 1999 dan merupakan individu yang membantu pasukan Malaysia meraih dua pingat perak di Sukan Asia (Guangzhou 2010, Jakarta-Palembang 2018) serta pingat perak Piala Asia 2017 di Dhaka.

Meskipun telah mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan, dia masih meneruskan khidmatnya bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dianggap sebagai penjaga gol terbaik negara serta antara terbaik dunia, Kumar sudah mencatatkan 321 kap sepanjang kariernya dalam sukan itu.

“Niat saya untuk bersara sejak dari tahun 2015 namun saya terus bersama pasukan kebangsaan memandangkan khidmat saya masih diperlukan sekiranya kita layak ke Sukan Olimpik.

“Namun selepas Malaysia gagal ke Tokyo 2020, saya fikir lebih baik saya beri peluang kepada penjaga gol muda untuk diasah bakat mereka bagi pembangunan jangka masa panjang.

“Jika saya teruskan juga dengan skuad kebangsaan, masa itu umur saya dah 44 tahun, ia bukan sesuatu yang mudah. Malaysia memerlukan penjaga gol muda,” katanya pada sidang media, Khamis.

Sebaik pengumuman persaraan itu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melalui presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mengambil tindakan pantas dengan melantik Kumar sebagai jurulatih penjaga gol pelatih bagi skuad remaja negara.

Mengulas lanjut mengenai tawaran yang diberikan MHC, Kumar berkata peluang yang diberikan itu adalah sesuatu yang sangat besar dan penting baginya.

Jelasnya, sebagai ahli sukan yang berpengalaman selama 20 tahun, dia tidak mahu ‘kedekut’ ilmu sebaliknya mahu berkongsi ilmu berkenaan dengan generasi muda negara.

Tonik penting ini diharap dapat diterjemahkan beliau dengan menjadi jurulatih yang mampu membawa pasukan hoki Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.-Bernama

S.Kumar, Penjaga Hoki, MHC

Artikel Lain