Hafizh harap tuah 'winglet' di Sepang - Sukan | mStar

Hafizh harap tuah 'winglet' di Sepang

Hafizh Syahrin Abdullah.

SEPANG: Pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap pemasangan 'winglet' (sayap) pada jentera Yamaha YZR-M1 miliknya dapat membantu beliau mencapai rentak terbaik menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018, Ahad ini.

Penggunaan sayap tersebut adalah kali pertama digunakan oleh pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu memandangkan rakan sepasukannya dari Perancis, Johann Zarco, telah mengujinya lebih awal sebelum ini.

Hafizh, 24, berharap dengan pemasangan sayap, yang merupakan satu perkembangan positif terhadap jenteranya, mampu melayakkannya untuk pusingan kelayakan kedua (Q2) sekali lagi selepas berjaya melakukannya di Phillip Island pada GP Australia, minggu lalu.

“Ini kali pertama saya menggunakan sayap pada jentera dan saya harap dengan adanya penambahan itu mampu memberi kebaikkan kepada saya untuk mendapatkan hasil yang lebih baik seawal sesi latihan pertama. Saya harap mampu melakukan kejutan nanti.

"Saya belum pernah cuba lagi tetapi saya yakin ia dapat membantu jentera lebih stabil supaya tayar hadapan tidak terlalu terangkat sekali gus memberi cengkaman pada tayar hadapan," katanya ketika ditemui selepas sidang media praperlumbaan, di sini, Khamis.

Pada perlumbaan di GP Australia, Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ke-10, mempamerkan tunggangan memukau apabila berjaya mengejar sehingga menduduki kedudukan kelapan sebelum terbabas pada pusingan ke-18.

Hafizh yang diberi jolokan ‘El Pescao' kini mengumpul 34 mata untuk menduduki tempat ke-18 selepas mengharungi 17 perlumbaan dan ketinggalan 12 mata di belakang pelumba Honda, Franco Morbidelli bagi merebut gelaran pelumba muka baharu terbaik musim 2018. - BERNAMA

Hafizh Syahrin , MotoGP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Marquez raih gelaran GP Malaysia

Tuah tidak memihak 'El Pescao'

Artikel Lain